HomeUtamaPIBG, komuniti perlu perkukuh bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan

PIBG, komuniti perlu perkukuh bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan

Read Time:1 Minute, 29 Second

RANAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama komuniti setempat perlu terus memperkukuh peranan dalam membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pendidikan akibat kekangan kewangan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sokongan berterusan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat amat penting bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang adil serta ruang untuk mengembangkan potensi diri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kehidupan.

“Janganlah kita membiarkan kekangan kewangan menjadi penghalang kepada anak-anak untuk belajar, berkembang dan mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lohan 2026 di Perkasa Hotel Kundasang, di sini, malam Sabtu.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, penganjuran majlis amal itu mencerminkan keprihatinan bersama terhadap masa depan pendidikan anak-anak, selain menjadi platform mengumpul dana bagi menambah baik kemudahan sekolah serta menyokong pelaksanaan program akademik dan kokurikulum.

Katanya, kecemerlangan seseorang pelajar bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum serta penerapan nilai-nilai murni.

Beliau yakin penglibatan berterusan PIBG dan komuniti setempat mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, sekali gus memastikan keperluan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, alumni, agensi kerajaan, sektor swasta serta semua penyumbang atas sokongan dan sumbangan yang diberikan.

Beliau menyifatkan setiap sumbangan itu sebagai pelaburan penting dalam pembangunan generasi muda demi melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Turut hadir, ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Pegawai Daerah Ranau, Herry Awit; Pegawai Pendidikan Daerah, Barizah Mohd Kahar; Pengetua SMK Lohan, Hamie Kumil; dan Yang Dipertua PIBG SMK Lohan, Md Yusuf Md Kahar.

RELATED ARTICLES
Utama

Xiamen simpan kenangan teristimewa Dexter Lau bersama mendiang datuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular