HomeUtamaGolongan wanita terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan Sabah

Golongan wanita terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan Sabah

Read Time:1 Minute, 44 Second

TUARAN: Golongan wanita dan suri rumah akan terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan Sabah menerusi pelbagai inisiatif yang merangkumi aspek kebajikan, ekonomi dan kesejahteraan hidup.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sumbangan wanita amat penting dalam pembangunan negeri memandangkan mereka bukan sahaja berperanan dalam institusi keluarga, malah turut menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Katanya, Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited memastikan golongan wanita, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, terus mendapat manfaat daripada pelbagai program bantuan yang disediakan.

Menurutnya, antara inisiatif berkenaan ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang membantu meringankan beban kewangan golongan B40, keluarga berpendapatan rendah dan suri rumah yang layak.

“Contohnya di Tuaran, daripada kira-kira 10,000 penerima bantuan SYUKUR di daerah ini, lebih 3,000 daripadanya adalah dari Sulaman.

“Tahun lalu, bantuan SYUKUR sebanyak RM300 sebulan turut disalurkan kepada golongan wanita yang layak. Itulah tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Dapur kepada Suri Rumah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, kesejahteraan rakyat merupakan antara komponen terpenting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM200 sebulan kepada 140,000 penerima daripada golongan kurang berkemampuan pada tahun ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial.

Beliau berkata, usaha memperluas bantuan kebajikan turut menunjukkan peningkatan apabila jumlah penerima bantuan Jabatan Kebajikan meningkat daripada lebih 20,000 orang sebelum ini kepada hampir 70,000 penerima setiap bulan dalam tempoh lima tahun.

“Banyak inisiatif telah kita laksanakan. Itulah dasar dan hala tuju saya dalam menyantuni rakyat, iaitu untuk memastikan kesejahteraan rakyat kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh sokongan terhadap program pembangunan wanita di kawasan Sulaman menerusi peruntukan RM500,000 setiap tahun.

Peruntukan sama turut disediakan masing-masing untuk golongan pemuda dan beliawanis bagi menyokong pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada kumpulan berkenaan.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Penganjur, Datuk Jamaliah Antalip atas komitmen menjayakan program bantuan peralatan dapur yang menyaksikan 1,000 suri rumah menerima manfaat.

RELATED ARTICLES
Utama

PIBG, komuniti perlu perkukuh bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular