KERAJAAN Malaysia sedang mendapatkan penjelasan daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung peraturan baharu yang mengenakan sekatan terhadap penyediaan perkhidmatan pusat data di Malaysia kepada entiti dari China.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, komunikasi dengan pihak AS sedang dilakukan bagi mendapatkan kepastian mengenai mekanisme pemantauan serta penelitian terhadap aktiviti berkenaan.
Beliau berkata, peraturan baharu itu menimbulkan keperluan untuk membezakan antara aktiviti penjualan semula unit pemprosesan grafik (GPU) dengan penyediaan perkhidmatan pengkomputeran melalui pusat data.
“Hal itu adalah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, jika sesebuah syarikat mahu membawa masuk unit pemprosesan grafik (GPU), ia perlu mengeksport semula peralatan itu.
“Tetapi sekarang, syarikat boleh menyediakan perkhidmatan pusat data. Perkara ini juga sedang kita tunggu penjelasan daripada AS, bagaimana perkara ini akan dipantau?,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar mesyuarat antara pegawai Malaysia dengan pemain industri China di Shenzhen hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurut Johari, terdapat dua perkara utama yang memerlukan penjelasan AS, iaitu urusan penjualan semula GPU kepada negara ketiga serta penyediaan perkhidmatan pengehosan pusat data kepada pelanggan dari negara tertentu.
“Kedua-duanya perlu diperjelaskan kerana peraturan baharu menyatakan penyediaan perkhidmatan pusat data juga dianggap sebagai aktiviti yang tertakluk kepada sekatan,” katanya.
Pada 16 November lalu, Biro Industri dan Keselamatan AS (BIS) mengeluarkan Peraturan Akhir Sementara bagi menghalang pihak asing tertentu daripada menggunakan kapasiti pengkomputeran termaju berasaskan teknologi AS untuk mengancam kepentingan keselamatan negara dan dasar luar negara itu.
Peraturan berkenaan mengenakan sekatan terhadap eksport, eksport semula atau pemindahan ke pusat data luar negara yang menyediakan kapasiti pengkomputeran secara jarak jauh kepada syarikat beribu pejabat di negara tertakluk kepada embargo senjata AS atau Macau.
Ia turut mewajibkan pengendali pusat data, pengeluar semikonduktor asing dan pengeksport cip melaksanakan usaha wajar terhadap pelanggan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan berkenaan.
Johari berkata, Malaysia perlu mendapatkan pengesahan rasmi sebelum dapat menentukan pelaksanaan serta garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pemain industri tempatan.
“Kita perlu memastikan perkara ini disahkan. Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang maklumat daripada AS selain daripada apa yang kita baca dalam media.
“Namun, inilah tujuan komunikasi yang akan kita jalankan supaya terdapat garis panduan yang jelas dan ketat antara penjualan cip GPU dengan penjualan perkhidmatan pusat data,” katanya.



