KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyasarkan tenaga boleh baharu menyumbang 50 peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik Sabah menjelang 2035 menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan kekal komited meningkatkan akses kepada bekalan elektrik yang stabil, mampu milik dan mampan untuk seluruh rakyat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, tenaga solar akan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat itu, selain penggunaan teknologi bersesuaian serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur elektrik bagi menjamin kestabilan bekalan tenaga negeri.
“Keutamaan kita kekal jelas, iaitu meningkatkan akses kepada bekalan elektrik yang stabil, mampu milik dan mampan untuk rakyat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Tenaga solar akan menjadi komponen penting dalam usaha ini, bersama teknologi lain yang bersesuaian serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur elektrik,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun sempena lawatan rasmi dan pameran Loji Solar Berskala Besar (LSS) Kolombong di Teck Guan Cocoa Embassy, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, bekalan elektrik yang stabil merupakan asas penting kepada pembangunan Sabah kerana menyokong penyampaian perkhidmatan asas, aktiviti ekonomi dan keperluan harian rakyat.
Menurutnya, jaminan bekalan tenaga menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, khususnya sejak Sabah mengambil alih tanggungjawab kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu pada 3 Januari 2024.
Langkah itu, katanya, memperkukuh keupayaan Sabah untuk merancang, mengawal selia dan membangunkan sektor tenaga mengikut keperluan serta aspirasi jangka panjang negeri.
Beliau berkata, tenaga boleh baharu ketika ini menyumbang kira-kira 17 peratus daripada campuran penjanaan elektrik Sabah dan dijangka meningkat kepada sekitar 30 peratus menjelang 2030.
Bagaimanapun, peluasan penjanaan tenaga solar perlu disokong sistem penyimpanan tenaga bateri, pengukuhan grid elektrik serta sumber penjanaan lain bagi memastikan bekalan kekal stabil dan boleh dipercayai.
“Matlamat kita bukan sekadar memasang lebih banyak panel solar, tetapi memastikan tenaga boleh baharu dapat menyumbang secara berkesan kepada jaminan bekalan tenaga Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji mengalu-alukan kejayaan LSS Kolombong memulakan operasi komersial pada 17 Oktober 2026, lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Loji solar berkapasiti 15 megawatt arus ulang-alik (AC) itu dijangka membekalkan kira-kira 37 gigawatt-jam tenaga elektrik bersih setahun kepada grid Sabah, mencukupi untuk memenuhi keperluan tahunan lebih 9,000 rumah.
Beliau berkata, projek berkenaan merupakan kemudahan solar berskala besar pertama di Sabah yang memulakan operasi komersial di bawah kawal selia Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Menurutnya, pelaksanaan projek itu membuktikan peranan pelaburan bertanggungjawab dan kepakaran tempatan dalam menyokong pembangunan sektor tenaga negeri.
Hajiji turut menggalakkan pemilik rumah dan premis perniagaan yang layak meneroka program Solar Rakyat Sabah dan SELCO-PV Sabah 2.0 bagi membolehkan mereka menjana tenaga elektrik solar serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan daripada grid konvensional.
Katanya, peralihan tenaga Sabah perlu memberikan manfaat langsung kepada rakyat, termasuk kepelbagaian sumber bekalan elektrik, pengukuhan perusahaan tempatan, peluang pekerjaan berkemahiran serta penyertaan lebih besar rakyat Sabah dalam industri tenaga boleh baharu.



