HomeUtamaSabah lulus terima pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951

Sabah lulus terima pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meluluskan penerimaan pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) bagi memperkukuh kawal selia profesion farmasi serta memastikan standard perkhidmatan farmasi di negeri ini selaras dengan piawaian kebangsaan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, keputusan itu diluluskan Jemaah Menteri Negeri pada Rabu.

Beliau berkata, penerimaan pakai akta berkenaan turut memberikan Sabah satu kerusi tetap dalam Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), sekali gus memastikan kepentingan dan pandangan negeri diambil kira dalam keputusan berkaitan kawal selia serta pembangunan profesion farmasi di peringkat kebangsaan.

Wakil Sabah dalam LFM akan dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, peluasan Akta 371 ke Sabah membolehkan negeri ini tertakluk kepada peruntukan berkaitan pengiktirafan kelayakan, pendaftaran ahli farmasi dan perbadanan berkaitan farmasi, selain pelaksanaan tindakan tatatertib terhadap kes salah laku profesional.

Penerimaan pakai itu juga membuka ruang kepada institusi pengajian tinggi yang berhasrat menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Farmasi dan Diploma Farmasi di Sabah untuk memohon pengiktirafan LFM.

Selain itu, premis latihan bagi Ahli Farmasi Berdaftar Secara Bersyarat (PRP) turut berpeluang mendapatkan pengiktirafan rasmi di bawah kerangka kawal selia berkenaan.

Julita berkata, pelaksanaan akta itu juga memastikan ahli farmasi yang beramal di Sabah memiliki kelayakan diiktiraf serta memenuhi standard kompetensi kebangsaan, selain mengawal penggunaan gelaran “ahli farmasi” dan istilah “farmasi” bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Beliau berkata, Akta 371 mula berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia pada 1952 sebelum diperluaskan ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2009.

Dengan penerimaan pakai itu, Sabah kini akan turut berada dalam kerangka kawal selia profesion farmasi yang sama.

“Penerimaan pakai Akta 371 ini amat bertepatan pada masanya ketika Sabah terus memperkukuh sistem kesihatan negeri.

“Akta ini akan memastikan ahli farmasi yang beramal di Sabah memenuhi standard profesional yang diiktiraf, sekali gus memperkukuh perlindungan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan farmasi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cadangan penambahan kerusi Dewan Rakyat Sabah, Sarawak dalam penelitian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular