KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Tuaran Batu 7, berhampiran Inanam Taipan, semalam (21 Nov).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.20 petang itu, apabila motosikal Suzuki yang ditunggang mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang kanan sebuah Perodua Axia yang sedang bergerak lurus di lorong kiri jalan.
Katanya, kereta berkenaan dipandu lelaki berusia 59 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Likas. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memandu dan menunggang dengan cermat serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.



