Oleh Wan Azrain Adnan
Pada penghujung bulan September 2026, negara telah digemparkan dengan insiden melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan dua pegawai polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Susulan itu, beliau telah didakwa di mahkamah, di atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis terbabit.
Namun begitu, insiden serta pendakwaan melibatkan pegawai tertinggi AKPS tersebut tidak sewajarnya mengalih perhatian serta membayangi isu sempadan negara yang nampaknya masih bolos. Situasi ini bukan sahaja mencabar keselamatan dan ketenteraman negara. Bahkan ianya turut menyebabkan negara menanggung kerugian besar.
Berdasarkan Laporan Assessing ASEAN’s Performance On The Illicit Trade Index yang diterbitkan oleh Transnational Alliance To Combat Illicit Trade baru-baru ini, Malaysia berada di kedudukan keenam di kalangan sepuluh negara ASEAN, dengan skor 50.7/100 bagi TRACIT Illicit Trade Index.
Manakala, di peringkat global, Malaysia berada di kedudukan ke-72 daripada 158 negara.
Fakta menarik. The Transnational Alliance to Combat Illicit Trade (TRACIT) merupakan satu inisiatif bebas Badan Bukan Kerajaan untuk memacu perubahan bagi mengurangkan impak ekonomi dan sosial akibat perdagangan haram. Ahli-ahli TRACIT beroperasi di 190 negara, antaranya: Johnson&Johnson, HP, Syngenta, Unilever, P&G, Novartis, Philip Morris International, Heineken, Universal Music Group.
Di antara enam kategori yang ditonjolkan di dalam laporan berkenaan, Malaysia telah merekodkan skor paling rendah bagi Supply Chain Intermediaries dan Sectoral Indicators of Illicit Trade.
| Kategori | Skor |
| Taxation and Economic Environment | 68.1 |
| Regulatory Framework and Enforcement | 50.7 |
| Criminal Enablers of Illicit Trade | 54.7 |
| Trade, Customs and Borders | 77.3 |
| Supply Chain Intermediaries | 24.7 |
| Sectoral Indicators of Illicit Trade | 29.7 |
Malaysia merekodkan skor rendah tersebut kerana aktiviti haram berlaku secara berterusan merentasi beberapa sektor utama, walaupun Malaysia memiliki rangka kerja kawal selia dan kastam yang agak maju. Antara lain, aktiviti haram ini melibatkan rokok, minuman keras, racun pertanian, farmaseutikal dan barangan tiruan.
Sehubungan itu, laporan berkenaan telah menggariskan beberapa cadangan polisi untuk mengukuhkan usaha menyeluruh menangani aktiviti haram terbabit di Malaysia, antaranya:
- melantik koordinator nasional bertaraf Menteri bagi menerajui strategi dan tindakan bersepadu
- rasionalisasi cukai eksais untuk rokok dan minuman keras, dengan tujuan melindungi hasil cukai dan mengurangkan perdagangan haram
- mengerakkan penguatkuasaan ke arah upstream dan ekosistem aktiviti haram, dengan menyiasat dan menghukum pihak yang menghasil, memiliki dan menjual bahan yang digunakan untuk produk rokok dan minuman keras haram, seperti botol, label, mesin kilang
Hakikatnya, insiden rokok haram sudah pun mencapai tahap yang sangat serius di Malaysia, sehingga mendominasi pasaran tempatan. Menurut Laporan Illicit Cigarettes Study (ICS) In Malaysia, July 2026 yang diterbitkan oleh Konfederasi Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM), pada bulan Julai 2026, rokok haram merangkumi 56.0% pasaran rokok negara.
Sabah dan Sarawak telah merekodkan peratusan rokok haram yang sangat tinggi sebanyak 74.7%, manakala Semenanjung Malaysia pula 53.3%.

Sedikit sebanyak, kerajaan agak berjaya di dalam usaha memerangi rokok haram. Sepanjang lima tahun (2021 – 2025), peratusan rokok haram telah menurun daripada 57.3% kepada 54.4%. Namun begitu, peratusan rokok dengan setem cukai tiruan telah melonjak lebih dua kali ganda daripada 7.7% kepada 15.5%.
Di kalangan negeri dan wilayah, pada bulan Julai 2026, peratusan rokok haram tertinggi direkodkan oleh: WP Labuan (82.0%), Sabah (75.4%), Terengganu (71.8%). Peratusan terendah pula direkodkan oleh: WP Putrajaya (30.8%), Perak (30.9%), Negeri Sembilan (42.6%).
Sementara itu, pada bulan Oktober 2025, Confederation of Malaysian Brewers Bhd (CMBB) dilaporkan berkata bir haram dianggarkan sekitar 25% daripada pasaran tempatan, dengan anggaran kehilangan hasil cukai sebanyak RM 1.2 bilion setiap tahun.
Pada bulan November 2025, Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa negara terpaksa menanggung kerugian hasil cukai sebanyak RM 1.85 bilion sepanjang lima tahun disebabkan oleh aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras.
Jumlah besar ini menggambarkan aktiviti penyeludupan yang berleluasa.
| Item | 2021 | 2022 | 2023 | 2024 | Jan – Sept 2025 | Jumlah |
| Rokok | ||||||
| Bilangan Kes | 2,354 | 3,793 | 3,967 | 2,555 | 1,881 | 14,550 |
| Nilai Cukai | RM 268.27 juta | RM 247.71 juta | RM 187.16 juta | RM 399.59 juta | RM 322.04 juta | RM 1.425 bilion |
| Minuman Keras | ||||||
| Bilangan Kes | 805 | 1,053 | 982 | 1,047 | 780 | 4,667 |
| Nilai Cukai | RM 84.69 juta | RM 115.67 juta | RM 46.33 juta | RM 99.71 juta | RM 78.41 juta | RM 424.81 juta |
Selain rokok dan minuman keras, aktiviti penyeludupan dadah juga amat membimbangkan. Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, bagi sembilan bulan tahun 2026 (Januari – September 2026), PDRM telah berjaya merampas dadah dan racun bernilai RM 2.85 bilion, melonjak 43.63% daripada RM 1.98 bilion bagi tempoh sama tahun 2025.
Kejayaan ini melibatkan rampasan sebanyak 36,612.72 kilogram dadah dan 30,580.19 liter dadah berbentuk cecair, serta rampasan bahan di bawah Akta Racun sebanyak 45,382.70 kilogram dan 106,092.56 liter.

Malah, nilai rampasan RM 2.85 bilion tersebut meneruskan trend peningkatan yang konsisten, yang jauh lebih tinggi berbanding nilai rampasan beberapa tahun terdahulu: tahun 2021 (27.05 tan, RM 951.69 juta); tahun 2020 (13.32 tan, RM 403.45 juta).
Tidak boleh dinafikan, aktiviti penyeludupan berleluasa akibat sempadan negara yang bolos, di mana item seperti rokok, minuman keras serta dadah boleh diseludup masuk ke dalam negara dengan mudah dan kuantiti yang besar.
Data sedia ada jelas menunjukkan isu penyeludupan ini bukanlah baru, tetapi telah lama berlanjutan tanpa kejayaan yang kukuh dan menyeluruh. Sudah pasti ianya akan terus berleluasa sekiranya agensi-agensi terbabit tidak diperkasa dengan kuasa, dana, teknologi dan kepakaran yang seiring dengan dunia yang semakin pantas dan kompleks.
Lebih utama, tekad kerajaan tidak terpesong dengan tercetusnya perkara-perkara sampingan yang tidak relevan dan signifikan dengan matlamat serta agenda nasional.



