HomeUtamaPersembahan cilik meriahkan majlis graduasi Tadika Shan Tao

Persembahan cilik meriahkan majlis graduasi Tadika Shan Tao

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Gelagat comel 141 kanak-kanak menerusi persembahan tarian merentasi empat dekad memeriahkan Majlis Graduasi Ke-90 dan Konsert Tahunan Tadika Shan Tao.

Membawakan irama era 1960-an hingga 1990-an, murid daripada lapan kelas itu mempersembahkan hasil latihan selama kira-kira satu bulan setengah di hadapan lebih 500 tetamu di Putera Ballroom, Taman Tun Fuad, Bukit Padang pada 15 November lalu.

Di sebalik persembahan yang menghiburkan, terselit nilai pendidikan apabila proses latihan memberi peluang kepada kanak-kanak memupuk disiplin, kerjasama dan keberanian, selain mengasah bakat serta keyakinan diri sejak usia awal.

Majlis penuh warna-warni itu dirasmikan secara bersama oleh Fr Moses Yap, Fr Gilbert Marcus, Pengerusi Lembaga Pengelola Tadika Shan Tao David Yu, bekas pengerusi Christopher Voo serta semua ahli lembaga pengelola tadika berkenaan.

Seramai 65 murid berusia enam tahun menerima sijil graduasi masing-masing sebagai pengiktirafan atas kejayaan menamatkan pendidikan prasekolah sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah.

Acara turut diserikan dengan penyampaian anugerah kecemerlangan kepada 24 murid berusia lima dan enam tahun serta ucapan perpisahan oleh wakil graduan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Persembahan lagu graduasi oleh semua graduan serta tayangan video pesanan daripada guru dan ibu bapa turut menjadi sebahagian daripada pengisian acara itu.

Sementara itu, pengetua Tadika Shan Tao Kwok Yun Yun berharap 65 graduan serta murid berusia lima tahun yang memilih untuk memasuki Tahun Satu tahun depan dapat memulakan alam persekolahan rendah dengan yakin, berbekalkan pengetahuan, pengalaman dan nilai murni yang dipupuk sepanjang pendidikan prasekolah.

Pengetua Tadika Shan Tao (paling kiri) bersama para Lembaga Pengelola Sekolah
RELATED ARTICLES
Utama

Ibu bapa, guru penting bimbing pelajar teroka bidang STEM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular