HomeUtamaLebih RM260 juta diperuntuk laksana enam projek keselamatan di Banggi, Kudat

Lebih RM260 juta diperuntuk laksana enam projek keselamatan di Banggi, Kudat

Read Time:1 Minute, 59 Second

BANGGI: Kerajaan memperuntukkan lebih RM260 juta bagi melaksanakan enam projek keselamatan strategik di Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan Daerah Kudat bagi memperkukuh kedaulatan serta keselamatan sempadan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan aset dan infrastruktur keselamatan, khususnya di kawasan strategik berkenaan.

Beliau berkata, projek di bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu memerlukan pendekatan pelaksanaan khusus dan tidak boleh disamakan dengan projek pembangunan biasa.

Enam projek berkenaan merangkumi pembangunan dan menaik taraf Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pulau Balambangan serta pembinaan jeti guna sama di Dogoton, Pulau Banggi.

Ia turut melibatkan pembangunan Kompleks Keselamatan Bersepadu yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kapitangan, Pulau Banggi serta Teluk Lung, Pulau Balambangan.

Selain itu, kerajaan turut merancang perolehan aset untuk PDRM di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan.

“Keseluruhan kos anggaran bagi enam projek ini melebihi RM260 juta. Inilah komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan aset dan infrastruktur keselamatan kita terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lawatan Kerja dan Sumbangan Kotak Makanan di Balai Polis Karakit, Pulau Banggi, di sini.

Mustapha berkata, projek berkenaan turut merangkumi kerja menaik taraf jalan raya pesisir pantai sedia ada di Pulau Banggi, khususnya laluan dari Karakit ke Dogoton, selain Lapangan Terbang Kudat dan Kem ATM Sri Kudat.

Menurutnya, penyediaan penempatan aset maritim agensi keselamatan di Kudat turut diberi perhatian menerusi pembangunan Jeti Keselamatan Bersepadu di Kampung Landung Ayang yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Katanya, pembangunan infrastruktur berkenaan penting bagi memastikan kawalan serta kedaulatan sempadan negara terus diperkukuh, selain menyediakan kemudahan lebih baik kepada anggota keselamatan yang bertugas.

Beliau berharap peningkatan infrastruktur dan aset itu dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada anggota tentera dan pasukan keselamatan lain untuk terus melaksanakan tanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, Perdana Menteri pernah mengadakan lawatan ke Pos Dogoton dan Karakit di Pulau Banggi beberapa bulan lalu bagi meninjau sendiri aspek keselamatan sempadan negara.

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan turut dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan daripada PDRM, APMM dan ATM yang sanggup berjauhan daripada keluarga selama tiga bulan ketika bertugas di pos hadapan.

Katanya, pengorbanan anggota yang turut datang dari Pahang, Perlis dan Sarawak itu amat dihargai dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.

RELATED ARTICLES
Utama

100 naskhah al-Quran disumbang kepada pelajar tahfiz di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular