Oleh Farah Nur Zahirah Jumatin
KOTA KINABALU: Bagi pengguna jalan raya di Sabah, pemandangan jalan berlubang serta keluhan mengenai tayar pecah dan rim bengkok bukan lagi perkara luar biasa.
Namun di sebalik kerosakan fizikal itu, isu tersebut sebenarnya memberi kesan besar terhadap keselamatan, kos sara hidup dan urusan harian rakyat.
Pengalaman itu turut dilalui Nur Balqis Azrizul, 20, yang berdepan kesukaran setiap kali melalui laluan Menggatal–Telipok.
“Saya melawat rumah keluarga pada waktu malam. Keadaan jalan berlubang-lubang memang berbahaya khususnya bagi penunggang motosikal walaupun kita tahu kawasan itu sedang dalam pembinaan, apatah lagi keadaannya gelap,” katanya ketika dihubungi.
Kajian oleh sekumpulan pelajar Tahun 1 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati masalah jalan rosak yang berlarutan memberi impak langsung kepada rutin harian masyarakat.
Melalui semakan laporan dan soal selidik terhadap 27 pengguna jalan raya, sebanyak 84 peratus responden memaklumkan mereka kerap berdepan jalan berlubang ketika berulang-alik ke tempat kerja, kuliah atau sekolah.
Keadaan ini turut membebankan kewangan isi rumah yang kurang berkemampuan apabila lebih 60 peratus responden terpaksa membelanjakan melebihi RM500 setahun semata-mata untuk membaiki tayar, rim dan sistem suspensi.
Bagi penduduk kampung dan keluarga berpendapatan sederhana, jumlah itu cukup terasa, malah jalan yang rosak turut menjejaskan akses asas ke sekolah, klinik dan hospital.
Faktor seperti peruntukan penyelenggaraan yang terhad, kualiti tampalan yang tidak bertahan lama serta kelewatan penyiapan projek termasuk cabaran pengurusan projek di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sabah antara punca utama yang dikenal pasti.
Bagaimanapun, kewujudan platform aduan digital seperti SabahFix dan MYJalan, selain peranan media sosial yang pernah mempercepatkan tindakan baik pulih di Tuaran, membuka ruang penambahbaikan.
Pihak berkuasa juga turut digesa memperketat pemantauan kontraktor dan penyelenggaraan berkala tanpa perlu menunggu sesuatu isu menjadi tular.



