KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan menggunakan wang kertas palsu RM100 untuk membeli makanan dan barangan di beberapa premis sekitar Kota Kinabalu.
Tertuduh Ridhwan Aiman, 35, membuat pengakuan itu selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Monica Linsua.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan sekeping wang kertas palsu RM100 untuk membeli barangan di kedai Mr DIY, Bandar Sierra, Manggatal, kira-kira jam 4.21 petang pada 11 November lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan wang kertas palsu untuk membeli makanan di kedai Orange 24hrs, Jalan Perpaduan, Kampung Air, kira-kira jam 1 petang pada 6 November lalu.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan pembelian makanan di kaunter pandu lalu McDonald’s, Tuaran Bypass, Manggatal kira-kira jam 11.16 pagi pada 15 Oktober lalu.
Sementara itu, pertuduhan keempat membabitkan kesalahan sama ketika membeli makanan di Orange Convenient Store, Warisan Square, kira-kira jam 3.17 pagi pada 6 November lalu.
Keempat-empat pertuduhan membabitkan penggunaan wang kertas RM100 bernombor siri FW7227386 yang didakwa palsu, dengan tertuduh mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai wang berkenaan adalah palsu tetapi menggunakannya sebagai wang tulen.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan bagi pertuduhan pertama, manakala jaminan RM2,000 dengan dua penjamin tempatan ditetapkan bagi setiap pertuduhan kedua hingga keempat.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis sekali sebulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



