HomeUtamaKerajaan Negeri komited pastikan sekolah, rumah ibadat tidak terpinggir

Kerajaan Negeri komited pastikan sekolah, rumah ibadat tidak terpinggir

Read Time:3 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memastikan tiada sekolah yang daif daripada segi prasarana pendidikan selain tiada rumah ibadat yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan kerajaan, selaras dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan kepada semua masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor pendidikan, menyokong institusi masyarakat serta memastikan pembangunan Sabah memberi manfaat kepada semua, tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026 bukan sekadar program tahunan, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan keadilan sosial terus menjadi teras pentadbiran negeri.

“Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam pada hari ini bukan sebuah majlis bermusim. Ini adalah tanggungjawab hakiki dan manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu, dan tiada rumah ibadat yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan daripada kerajaan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun di sini pada Selasa.

Hajiji berkata, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan bantuan berkenaan sebanyak RM20 juta, iaitu daripada RM70 juta pada 2025 kepada RM90 juta tahun ini.

Katanya, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memberikan perhatian lebih besar terhadap keperluan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

Beliau berkata, bantuan berkenaan turut bertujuan memastikan akses kepada pendidikan yang lebih baik, selain membantu penyelenggaraan bangunan, pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengoperasian badan keagamaan demi keselesaan masyarakat.

Menurutnya, bagi tahun ini, Kementerian Kewangan menerima sebanyak 339 permohonan bantuan daripada sekolah dengan jumlah keseluruhan peruntukan dipohon sebanyak RM107.27 juta, membabitkan lima kategori sekolah yang layak.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM40 juta diluluskan untuk disalurkan kepada 320 sekolah yang memenuhi syarat permohonan.

“Manakala, sebanyak 1,810 permohonan bantuan daripada tokong, kuil dan pelbagai denominasi gereja di Sabah diterima tahun ini, dengan jumlah peruntukan dipohon mencecah RM235.30 juta.

“Daripada jumlah berkenaan, RM50 juta disalurkan kepada 1,761 badan keagamaan bukan Islam,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan memahami keperluan di peringkat akar umbi jauh lebih besar berbanding peruntukan yang tersedia, namun bantuan disalurkan berdasarkan keutamaan, keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan sokongan dan bantuan kepada rakyat serta institusi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat apabila kedudukan kewangan mengizinkan.

Beliau berkata, kekuatan Sabah pada masa hadapan bergantung kepada kualiti generasi muda, manakala pelbagai perancangan pembangunan negeri memerlukan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Justeru, katanya, pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat peluang lebih baik untuk belajar, mengembangkan potensi dan mencapai cita-cita.

“Kita tidak mahu anak-anak kita dan generasi sekarang hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri. Kita mahu mereka menjadi generasi yang akan memimpin dan menentukan masa depan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil berkenaan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Sabah, selain membolehkan mereka memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, langkah itu mencerminkan keterbukaan dan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian aliran pendidikan di negeri ini, dengan matlamat melahirkan modal insan berkualiti, berilmu pengetahuan dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan terus mempertahankan keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat Sabah, dengan kepelbagaian kaum, agama dan tradisi bukan menjadi titik perpecahan, sebaliknya nadi yang mengukuhkan perpaduan.

Beliau berkata, semangat saling menghormati dan bermuafakat perlu terus dipelihara bagi memastikan Sabah kekal sebagai negeri yang maju, stabil dan harmoni, selain menyediakan ruang serta peluang kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memastikan semua kaum, tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama, mendapat pembelaan secara adil dan saksama, termasuk melalui sokongan kepada institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang memerlukan bantuan.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat, menjaga keharmonian dan memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada semua,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Baki pemberian khas interim RM900 juta dibayar sebelum sidang DUN –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular