KOTA KINABALU: Sebuah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menubuhkan klinik perubatan swasta yang menyediakan perkhidmatan estetik tanpa pendaftaran.
Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Katalina Aesthetic & Wellness Sdn Bhd selepas pengarahnya mengaku bersalah bagi pihak syarikat berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan jika denda gagal dibayar.
Syarikat itu membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit menubuhkan sebuah klinik perubatan swasta yang dikenali sebagai Katalina Aesthetic & Wellness tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Aeropod, berhampiran Jalan Kepayan, di sini, kira-kira jam 11.40 pagi pada 24 Oktober 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) akta berkenaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(b) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyerbu premis berkenaan pada hari kejadian.
Ketika serbuan, dua pekerja premis itu gagal mengemukakan perakuan pendaftaran klinik atau lesen Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) apabila diminta berbuat demikian.
Selain dua pekerja terbabit, seorang pelanggan turut berada di dalam premis ketika pemeriksaan dijalankan.
Beberapa dokumen, ubat-ubatan dan mesin turut dirampas dalam serbuan itu.
Siasatan mendapati premis berkenaan diuruskan oleh seorang doktor yang juga pengarah syarikat terbabit.
Maklum balas daripada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) mengesahkan bahawa doktor berkenaan berdaftar penuh dengan badan itu dan mempunyai perakuan pengamalan bagi tahun 2019.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati premis itu tidak berdaftar sebagai klinik perubatan swasta pada tarikh serbuan.
Perkara itu disahkan menerusi surat Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 20 November 2019 yang menyatakan premis berkenaan tidak mempunyai perakuan pendaftaran, perakuan kelulusan dan/atau lesen di bawah Akta 586.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Nozaizeli Abu Samah, manakala syarikat itu diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.



