LABUAN: Penglibatan Jetama Energy dalam projek tenaga solar berskala besar di Labuan membuka ruang kepada Sabah Development Berhad (SDBhd) untuk melihat potensi sektor tenaga boleh diperbaharui sebagai antara bidang yang memberi manfaat kepada kumpulan itu.
Projek Solar Berskala Besar 10MW (Solar PV Power) di Kampung Bukit Kalam itu merupakan usaha sama antara Jetama Energy dan Symbior Solar.
Pengerusi SDBhd, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, projek berkenaan dilihat memberi impak positif kepada Jetama, selain menyumbang kepada perkembangan SDBhd secara keseluruhan.
Beliau berkata, tinjauan ke tapak projek itu membolehkan pihaknya melihat sendiri perkembangan operasi serta menilai pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, hasil taklimat dan tinjauan yang dilakukan, beliau berpuas hati dengan perkembangan projek solar itu yang berjalan secara teratur.

“Pada pandangan saya, projek solar ini begitu baik dalam memberi impak positif kepada Jetama dan pada masa sama kepada SDBhd secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek solar berkenaan di Kampung Bukit Kalam, Labuan, bersama Ahli Lembaga Pengarah SDBhd.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SDBhd, Nixon Abdul Habi serta Ahli Lembaga Pengarah, Awang Fauzi Awang Tahir.
Taklimat operasi projek berkenaan disampaikan oleh Pengurus Besar Solar PV Power Sdn Bhd, Calum Wembley Mogindol.
Jetama Energy merupakan anak syarikat Jetama Water, yang juga anak syarikat kepada SDBhd.



