TELUPID: Kerjasama dan penyelarasan antara agensi keselamatan menjadi aspek penting dalam memastikan tindakan pantas dan berkesan dapat dilaksanakan apabila berhadapan dengan insiden kebakaran kilang.
Ketua Bahagian Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, ASP Kusmass Enos berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana tidak boleh bergantung kepada satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak.
Menurutnya, setiap agensi perlu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan operasi menyelamat serta pengurusan kecemasan dapat dilaksanakan secara tersusun.

Katanya, aspek komunikasi dan penyelarasan operasi juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kelemahan ketika berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar.
“Kerjasama dan komitmen semua pihak amat penting demi menjamin keselamatan warga kerja serta masyarakat di daerah Telupid.
“Program ini memberi peluang kepada semua pihak untuk menguji keupayaan membuat keputusan dalam keadaan tertekan dan memperkukuh penyelarasan operasi antara agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Menghadapi Bencana Kebakaran Kilang anjuran IPD Beluran yang disertai 191 peserta di sini.
Beliau berkata, latihan berkenaan turut memberi peluang kepada agensi terlibat menilai tahap keupayaan masing-masing dalam menangani insiden kebakaran yang membabitkan sistem biogas, termasuk kejadian letupan dan mangsa terperangkap.

Katanya, penilaian sepanjang latihan itu penting bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan keberkesanan tindakan pada masa hadapan.
“Sebarang kelemahan yang dikenal pasti akan dijadikan panduan untuk penambahbaikan bagi memastikan tindakan lebih tersusun dan berkesan pada masa hadapan,” katanya.
Program itu membabitkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Daerah Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Beluran, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Telupid, Pejabat Kesihatan Daerah Telupid, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Telupid serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Telupid.
Turut hadir, Pengurus Besar Wilmar Plantations Sdn. Bhd., Ir. Lo Yee Hang; Pengurus Kanan Kilang, Ir. Alvin Bryan Hee Choon Loong; serta 23 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).



