HomeUtamaTiga bahagian PBS sepakat sedia tanding kerusi Parlimen Kota Kinabalu

Tiga bahagian PBS sepakat sedia tanding kerusi Parlimen Kota Kinabalu

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Tiga bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS), iaitu Luyang, Likas dan Api-Api, hari ini sepakat menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pertemuan itu dihadiri Ketua Bahagian PBS Luyang, Goon Tien Shang; Ketua Bahagian PBS Likas, Soo Chee Yong; dan Ketua Bahagian PBS Api-Api, Yee Tsai Yiew, yang kesemuanya merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBS.

Pertemuan itu turut mencerminkan gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu apabila Soo dan Yee baru dipilih sebagai ketua bahagian masing-masing.

Goon berkata, PBS mempunyai sejarah panjang di Kota Kinabalu dan terus berkhidmat kepada masyarakat sejak penubuhannya pada 1985.

“PBS mempunyai sejarah panjang di Kota Kinabalu dan terus berkhidmat kepada rakyatnya selama lebih empat dekad,” katanya.

Sementara itu, Soo menegaskan kepentingan perpaduan dan kerjasama antara ketiga-tiga bahagian berkenaan.

“Perpaduan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga bahagian mencerminkan solidariti dalam PBS. Perpaduan ini memberikan keyakinan dan kekuatan kepada kami untuk mengambil cabaran merebut kerusi Parlimen Kota Kinabalu,” katanya.

Yee turut menegaskan komitmen bersama ketiga-tiga bahagian untuk menyokong calon yang bakal dipilih parti.

“Tidak kira siapa yang akhirnya dipilih mewakili PBS, calon itu akan mendapat sokongan penuh daripada ketiga-tiga bahagian. Matlamat bersama kami adalah untuk mengetengahkan calon yang berpotensi menang dan menyumbang kepada usaha GRS merampas kembali kerusi Parlimen Kota Kinabalu,” katanya.

Ketiga-tiga ketua bahagian itu mengulangi kesediaan dan komitmen mereka untuk bekerjasama, tertakluk kepada keputusan kepimpinan parti dan gabungan.

Mereka turut menegaskan PBS sebagai parti politik berbilang kaum yang berpengkalan di Sabah, mempunyai akar umbi yang kukuh di negeri ini serta rekod politik yang terbukti, wajar diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

Penyertaan PBS dilihat penting bagi memberikan pengundi pilihan yang kredibel dan berdaya saing, selain benar-benar mencerminkan masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua PBS Api-Api, Datuk Kapitan Lim Vun Chan; Timbalan Ketua PBS Likas, Yong Wai Ching; Ketua Wanita PBS Api-Api, Datin Seri Vicky Yee, Naib Ketua PBS Api-Api, Oliver Majaham; dan Naib Ketua PBS Luyang, Benedict Voo Chung Yaw.

RELATED ARTICLES
Utama

Ewon bangkitkan keperluan peruntukan pembangunan sekolah mubaligh, pengajaran bahasa etnik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular