HomeUtamaEwon bangkitkan keperluan peruntukan pembangunan sekolah mubaligh, pengajaran bahasa etnik Sabah

Ewon bangkitkan keperluan peruntukan pembangunan sekolah mubaligh, pengajaran bahasa etnik Sabah

Read Time:2 Minute, 31 Second

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan peruntukan pembangunan kepada sekolah mubaligh di Penampang dan Kadamaian.

Beliau turut bertanya status sokongan dan komitmen Kementerian dalam menyokong pelaksanaan pengajaran Bahasa Etnik seperti Kadazan Tangaa, Dusun Lotud, Murut Timogun dan Tatana di Sabah sebagai penambahbaikan kepada pengajaran Bahasa Kadazandusun yang sedia ada, serta pengajaran Bahasa Etnik Orang Asli di Semenanjung.

Selain itu, beliau juga meminta supaya sekolah daif yang masih memerlukan naik taraf, termasuk sekolah kurang murid, serta SRJK Yue Min di Penampang diberi peruntukan pembangunan.

Antara sekolah mubaligh yang dibangkitkannya ialah SK St Joseph, SK St Paul, SK St Theresa dan SK St Anthony di Penampang, serta tiga sekolah Adventist di Kadamaian, iaitu SRA Rangalau, SRA Kelawat dan SRA Gaur.

Ewon berkata KPM menerima RM69.988 bilion dalam Belanjawan 2027, termasuk RM447.771 juta bagi Program Pendidikan Sabah dan Sarawak.

Beliau merakamkan penghargaan kepada kementerian atas pembinaan bangunan baharu bagi menggantikan bangunan daif di beberapa sekolah di Penampang dan Kadamaian.

“Saya berharap ini dapat diambil tindakan sepertimana jawapan Kementerian ke atas perbahasan peringkat dasar saya yang menyatakan sekolah-sekolah mubaligh juga menikmati hak dan kemudahan sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK),” katanya ketika membahaskan peruntukan KPM pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, kelmarin.

Mengenai pengajaran bahasa etnik, Ewon berkata, langkah itu selaras dengan usaha memelihara kedudukan istimewa anak negeri Sabah di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta komitmen kerajaan terhadap Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) 2007.

Beliau turut menyokong usaha memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid menerusi program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang menerima peruntukan RM201.711 juta.

“Jika program ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di sekolah-sekolah Kerajaan, saya mencadangkan agar sekolah-sekolah mubaligh (mission schools) diberikan sokongan penuh bagi memastikan program penguasaan Bahasa Inggeris dapat dijayakan,” katanya.

Dalam urusan pelantikan pengetua sekolah mubaligh, beliau meminta KPM meneruskan perundingan secara maksimum dengan Lembaga Pengelola Sekolah (Board of Governors) dan pihak berkuasa mubaligh (Mission Authority) sekolah berkenaan, seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas 2013.

Menyentuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam bidang pendidikan, Ewon menghargai kemajuan yang dicapai KPM setakat ini dan meminta kementerian menjelaskan status cadangan mewujudkan jawatan bertaraf JUSA C bagi timbalan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Katanya, cadangan yang telah dikemukakan dalam mesyuarat MA63 itu bertujuan merapatkan jurang antara jawatan Pengarah Pendidikan Sabah yang bertaraf JUSA B dengan jawatan kanan berikutnya pada Gred 54 dalam skim terdahulu.

Ewon turut mencadangkan supaya KPM menyediakan sekurang-kurangnya sebuah van bagi setiap sekolah secara berfasa untuk memudahkan penyertaan murid dalam acara di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Beliau turut mencadangkan supaya taekwondo dan karate dimasukkan dalam takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta kemudahan di SM St Michael Penampang dinaik taraf bagi membangunkan sekolah itu sebagai pusat kecemerlangan sukan ragbi sekolah di Sabah.

Ewon berkata Kerajaan Sabah turut memperuntukkan sekitar RM70 juta bagi 16 inisiatif pendidikan dan sekitar RM155 juta untuk biasiswa.

Beliau berharap kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri terus diperkukuh bagi memajukan pendidikan di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga Pegawai Tentera, Tiga Awam Didakwa Edar 96.2kg Syabu Di Pangkalan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular