KOTA KINABALU: Kes keganasan terhadap golongan wanita di negeri ini mencatat penurunan kira-kira 4.2 peratus kepada 911 kes pada tahun 2025 berbanding 951 kes pada tahun sebelumnya.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, masyarakat seharusnya tidak memandang ringan terhadap isu keganasan terhadap wanita meskipun jumlah kes merekodkan penurunan.
Beliau berkata, pihaknya turut yakin masih terdapat kemungkinan kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan isu keganasan terhadap wanita masih memerlukan perhatian serius semua pihak, termasuk kerajaan, agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Saya mengandaikan bahawa bilangan ini adalah bilangan yang memang cukup besar, tetapi ini adalah bilangan yang mungkin hanya dilaporkan.
“Saya sangat yakin ada lagi angka yang tersekat di luar sana yang tidak berani untuk keluar, tidak berani untuk membawa perkara itu ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keluarga Sejahtera Wanita Unggul sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), di sini pada Jumaat.
Julita berkata, keganasan terhadap wanita bukan sekadar isu sosial atau perundangan, sebaliknya turut melibatkan aspek kesihatan awam, produktiviti ekonomi, perkembangan kanak-kanak serta kestabilan masyarakat dalam jangka panjang.
Katanya, keganasan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk fizikal, emosi, seksual, verbal serta pengucilan ekonomi yang memberi kesan terhadap kesejahteraan psikologi mangsa.
Menurutnya, kesan keganasan bukan sahaja dirasai ketika insiden berlaku, malah trauma yang dialami mangsa boleh berpanjangan dan mempengaruhi kehidupan mereka dalam tempoh yang lama.
Beliau turut menegaskan bahawa anak-anak yang membesar dalam persekitaran rumah tangga yang penuh dengan kekerasan berisiko menganggap tingkah laku sedemikian sebagai sesuatu yang biasa apabila mereka dewasa.
“Anak-anak sama ada anak perempuan atau anak lelaki tetap ada kesannya pada waktu mereka sudah membesar. Jadi kita tidak boleh membiarkan keganasan menjadi satu kitaran yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak berdiam diri sekiranya mengetahui atau menyaksikan kes penderaan, khususnya yang berlaku dalam rumah tangga, sama ada melibatkan ahli keluarga, jiran atau individu lain.
Katanya, sikap tidak mahu campur tangan dalam urusan orang lain tidak seharusnya menjadi alasan untuk membiarkan mangsa terus berhadapan dengan keganasan, terutama apabila keselamatan dan kesejahteraan mereka terancam.
Beliau berkata, masyarakat perlu memainkan peranan dengan melaporkan kes yang diketahui kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku.
“Sekiranya kita mengetahui kes yang betul-betul jelas, kes teruk penderaan di dalam rumah tangga, jiran, keluarga atau sesiapa sahaja, saya minta supaya jangan tutup mulut, pergi lapor.
“Laporkan sahaja kes-kes seperti itu supaya kita boleh melihat barangkali ada kes yang menerima hukuman tertentu kerana tindakan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Julita berkata, usaha meningkatkan kesedaran mengenai keganasan terhadap wanita perlu dipergiat melalui kempen yang lebih meluas dan melibatkan pelbagai rakan strategik, termasuk NGO, komuniti serta agensi kerajaan.
Katanya, kempen berkenaan perlu dilaksanakan secara berterusan, bukan sahaja di kawasan bandar, malah turut diperluaskan ke kampung dan kawasan luar bandar bagi memastikan masyarakat memahami bentuk keganasan, hak mangsa serta saluran mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mahkamah Anak Negeri serta pihak berkaitan boleh dimanfaatkan bagi memperluaskan pendidikan dan kesedaran mengenai isu berkenaan.
Selain kempen kesedaran, katanya, institusi keluarga dan agama juga mempunyai peranan penting dalam membentuk persekitaran yang lebih selamat, saling menghormati serta memberi sokongan kepada individu yang berhadapan dengan masalah.
Julita berkata, keluarga seharusnya menjadi tempat mendapatkan sokongan ketika seseorang melalui fasa sukar, manakala institusi keagamaan pula boleh memperkukuh nilai kasih sayang, tanggungjawab dan penghormatan terhadap anggota keluarga.
Beliau turut mengingatkan bahawa keganasan bukan tingkah laku yang boleh diterima atau dibenarkan atas alasan tertentu, kerana setiap individu perlu menghormati hak serta maruah orang lain.
Dalam usaha memastikan mangsa mendapat bantuan, beliau turut meminta JHEWA memperluaskan hebahan mengenai Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan individu memerlukan mendapatkan bantuan pada bila-bila masa.
Katanya, talian berkenaan disokong oleh agensi rakan strategik yang bersedia memberikan bantuan apabila menerima makluman mengenai kes atau individu yang memerlukan sokongan.
“Mana tahu ada ahli keluarga kita yang perlu melalui perkara seperti itu, tengah malam pun, kerana talian ini beroperasi 24 jam, dial nombor itu untuk mendapatkan pertolongan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan khidmat guaman bagi membantu wanita yang memerlukan perlindungan dan sokongan berkaitan undang-undang, selain perlindungan yang tersedia menerusi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).
Julita berkata, kesedaran terhadap hak serta perlindungan undang-undang perlu dipertingkat supaya wanita tidak terus berdiam diri atau berasa mereka tidak mempunyai pilihan apabila berhadapan dengan keganasan.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan memperkasakan wanita melalui pembangunan kemahiran, pengetahuan dan keusahawanan supaya mereka mempunyai keupayaan untuk berdikari serta membina kehidupan sendiri.
Katanya, wanita perlu digalakkan mempelajari kemahiran baharu dan meneroka peluang ekonomi yang boleh membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan, termasuk sekiranya terpaksa melalui situasi sukar.
“Belajar, belajar kemahiran. Kalau perlu mahu jadi usahawan, jadilah usahawan. Belajarlah benda-benda baharu untuk menyokong diri sendiri.
“Kita tidak berdoa supaya perkara seperti itu berlaku, tetapi memang bersedia atau membina diri sendiri adalah perkara yang baik, supaya kalau perlu berdikari, kita masih boleh bertahan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar seseorang lelaki bukan terletak pada keupayaan menguasai orang lain, sebaliknya pada kebijaksanaan mengawal diri, menghormati sesama manusia dan memikul tanggungjawab.
Katanya, pendidikan mengenai penghormatan terhadap wanita, kawalan diri dan tanggungjawab perlu diberi perhatian sejak di peringkat keluarga bagi membentuk generasi yang lebih memahami serta menolak segala bentuk keganasan. – SABAH MEDIA



