HomeUtamaIDS perkasa pembangunan wanita Sabah

IDS perkasa pembangunan wanita Sabah

Read Time:2 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Pencapaian wanita Sabah dalam bidang pendidikan perlu diterjemahkan kepada penyertaan ekonomi, kemajuan kerjaya serta peluang lebih luas dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan bagi memastikan mereka terus menjadi rakan strategik pembangunan negeri.

Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah akan menganjurkan Forum Wanita Sabah Merentas Generasi 2026 pada 2 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Bertemakan “Daripada Potensi kepada Impak: Wanita Sabah Memacu Masa Hadapan”, forum itu menghimpunkan wanita daripada pelbagai generasi, sektor dan latar belakang bagi mengenal pasti cabaran, merapatkan jurang pembangunan serta merangka strategi memperkasa golongan wanita.

Pengerusi IDS Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata forum itu bukan sekadar platform perbincangan mengenai pembangunan wanita, sebaliknya bertujuan menterjemahkan dapatan kajian berasaskan bukti kepada tindakan praktikal yang boleh dilaksanakan dan diukur impaknya.

“Forum ini memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk bersama-sama merangka langkah praktikal bagi memperkasa wanita Sabah merentas generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul, berkata wanita merupakan antara pemacu penting pembangunan sosioekonomi negeri menerusi sumbangan dalam bidang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, perkhidmatan awam, korporat, kepimpinan masyarakat dan pembangunan keluarga.

Katanya, Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) Sabah 2023 mencatatkan skor keseluruhan 0.715, mengatasi purata nasional 0.705.

“Bagaimanapun, meskipun nisbah enrolmen pendidikan tertiari wanita berbanding lelaki mencatatkan 1.889, nisbah penyertaan tenaga buruh wanita hanya 0.673, manakala nisbah wanita dalam kategori penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus ialah 0.407.

“Dapatan ini menunjukkan pencapaian pendidikan wanita yang kukuh belum diterjemahkan sepenuhnya kepada penyertaan ekonomi, kemajuan kerjaya dan representasi dalam kedudukan kepimpinan serta pembuatan keputusan,” katanya.

Forum itu merangkumi dua pengisian utama, iaitu Forum Perdana bertajuk “Wanita Sabah: Daripada Potensi kepada Impak” dan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertemakan “From Evidence to Action: Memperkasa Wanita Sabah Merentas Generasi”.

Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada empat tonggak utama, iaitu penyertaan wanita dalam tenaga kerja, keusahawanan, kepimpinan serta pementoran dan legasi.

Bagi tonggak tenaga kerja, perbincangan akan meneliti isu graduan wanita yang belum mendapat pekerjaan, wanita yang ingin kembali bekerja, padanan pekerjaan, peningkatan kemahiran, kemajuan kerjaya serta persekitaran kerja mesra wanita.

Dalam aspek keusahawanan, fokus diberikan kepada usaha memperkukuh pembangunan usahawan wanita menerusi akses kepada modal, kemahiran perniagaan, pendigitalan, jaringan industri dan peluasan pasaran.

Tonggak kepimpinan pula menumpukan kepada peluasan peluang wanita untuk menerajui kepimpinan dan menduduki jawatan pengurusan tertinggi dalam sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat, politik, profesional serta komuniti.

Dalam pada itu, aspek pementoran dan legasi menerusi konsep “Pengalaman Tidak Bersara” akan memanfaatkan ilmu, kepakaran serta pengalaman wanita pesara, pemimpin senior dan golongan profesional untuk berperanan sebagai mentor, penasihat serta penghubung peluang kepada generasi muda.

Forum itu turut menyokong aspirasi Kajian Rangka Tindakan Wanita Sabah 2026–2035, khususnya dalam memperkukuh penyertaan ekonomi, pembangunan keusahawanan, kepimpinan wanita serta kerjasama strategik antara pihak berkepentingan.

Program berkenaan turut memperkenalkan Portal Wanita Women’s Leadership Initiative Committee (WLIC).

Ramzah turut mengundang agensi kerajaan, pemain industri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan pemimpin komuniti untuk bersama-sama menjayakan forum berkenaan.

“Kami berharap forum ini dapat memperkukuh peranan wanita sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri Sabah,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia pendaftaran, Sarah J. Marican atau Faezah Hassan menerusi e-mel [email protected] atau [email protected] serta talian 088-450500 atau 016-8351280.

RELATED ARTICLES
Utama

Rosalam mulakan tugas sebagai Naib Canselor kelapan UMS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular