Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kecemerlangan akademik perlu diseimbangkan dengan ketinggian adab dan nilai murni bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, malah mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat dan peradaban.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, ketinggian adab merupakan benteng paling kukuh dalam pembinaan sesebuah peradaban, meskipun kemajuan intelek terus menjadi keutamaan dalam kehidupan.
Beliau berkata, ilmu tanpa adab ibarat pohon yang tidak berbuah, justeru graduan perlu sentiasa memelihara nilai kesopanan dan rasa hormat dalam setiap tindakan serta interaksi dengan masyarakat.
Menurutnya, graduan tidak seharusnya melupakan adab terhadap pensyarah, ibu bapa dan keluarga yang banyak memainkan peranan dalam perjalanan mereka sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Nilai seorang insan bukan terletak semata-mata pada tingginya ilmu yang diperoleh, sebaliknya pada adab yang dijunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-28 bagi graduan tahun 2026 di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Sabtu.
Musa yang juga Canselor UMS berkata, UMS bukan sekadar sebuah institusi pengajian tinggi, sebaliknya menjadi gedung yang membentuk pemikiran kritis dan kreatif, memupuk kepimpinan serta memperkukuh ilmu pengetahuan dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, proses pendidikan di universiti bukan hanya bertujuan melahirkan individu yang mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut membentuk insan terpelajar yang berkeperibadian baik dan berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan graduan supaya membawa nilai murni yang dipelajari sepanjang berada di universiti ke alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.
Beliau turut menggesa graduan agar terus menghargai jasa serta pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang menjadi sumber sokongan sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Katanya, kejayaan memperoleh segulung ijazah bukan alasan untuk melupakan mereka yang banyak berkorban, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk membalas jasa dan membanggakan keluarga.
Musa berharap graduan UMS dapat melangkah ke alam kerjaya dengan semangat berani, berintegriti dan beradab, selain menjadi ejen perubahan yang membawa kebaikan kepada Sabah dan negara. – SABAH MEDIA



