KOTA KINABALU : Modal insan merupakan aset yang penting untuk dibangunkan khususnya dikalangan generasi muda agar dapat bersama-sama membangunkan negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia bagi memastikan agar Sabah dan Malaysia amnya akan dapat terus dibangunkan dari generasi ke generasi.
“Modal insan adalah aset yang penting untuk dibangunkan agar kita dapat bersama-sama membangunkan negeri dan negara kita bagi mencapai wawasan kemakmuran bersama pada 2030.
“Generasi muda yang ada pada masa ini merupakan pelapis seterusnya untuk memajukan Sabah dan negara kita Malaysia secara amnya. Itulah harapan kami selaku pemimpin masyarakat untuk sama-sama menyumbang kearah membangunkan modal insan agar tidak putus usaha memajukan negeri kita daripada generasi ke generasi yang akan datang” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program SMART Jawab SPM 2021 anjuran Pusat Khidmat Rakyat dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat secara maya di pejabatnya pagi tadi.
Shahelmey yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, penganjuran program SMART Jawab SPM 2021 ini bertujuan untuk mempersiapkan para pelajar di daerah Putatan yang bakal menduduki SPM 2021.
“Kami adakan program SMART Jawab SPM 2021 ini untuk memperkemaskan persediaan ditahap akhir pelajar-pelajar bagi menduduki pepriksaan SPM 2021.
“Selain itu saya juga ingin melihat pencapaian prestasi akademik yang baik dikalangan penduduk daerah Putatan agar dapat sama-sama menyumbang kearah melahirkan modal insan di daerah Putatan, negeri Sabah dan juga Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Program SMART Jawab SPM 2021 yang diadakan bermula dari 11 Januari sehingga 19 Januari ini disertai oleh lebih 650 orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada bulan Mac ini yang melibatkan dua buah sekolah menengah dalam Daerah Putatan iaitu SMK Tansau dan SMK Putatan.
Para pelajar akan didedahkan dengan cara-cara menjawab kertas peperiksaan yang disampaikan oleh guru-guru yang terlibat secara langsung dalam menyemak kertas peperiksaan SPM.