LABUAN : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sedia bekerjasama untuk membangunkan industri pelancongan diantara Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, beberapa program akan dapat dilaksanakan bersama pada masa akan datang termasuk mempromosikan beberapa tempat pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong.
Katanya, ia termasuklah mempromosikan National Geopark Labuan dan National Geopark Kinabalu serta pulau-pulau yang terdapat di kedua-dua tempat.
“Selain itu, usaha juga perlu dilakukan bagi mengetengahkan warisan sejarah Sabah dan Labuan antaranya Perkuburan Perang Labuan dan Kundasang War Memorial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat dengan Perbadanan Labuan disini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Sri Amir Hussien, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Rithuan Mohd Ismail, serta wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dalam pada itu, Jafry berkata, kementeriannya juga mempunyai perancangan untuk mempromosi pelancongan menerusi platform sukan atau riadah termasuk aktiviti berbasikal, Golf dan pertandingan memancing antarabangsa Sabah-Labuan.
“Saya yakin dan percaya dengan usaha berterusan diantara kedua-dua pihak pastinya mampu melonjakkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Untuk rekod, Lembaga Pelancongan Sabah dan Labuan juga akan berkolaborasi dengan Tourism Malaysia untuk membuat promosi di Johor pada 22 sehingga 25 Februari depan.