KOTA KINABALU : Sabah FC berjaya mencipta kemenangan pertama dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 ketika menentang Sarawak United FC dengan jaringan 2-1 di Stadium Likas malam tadi.
Meskipun berjaya mencipta kemenangan, namun Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya dilihat masih leka dalam permainan selepas mendahului jaringan.
Katanya, kelekaan itu juga menjadi antara punca kekalahan 1-2 ketika bertemu TRW Kelantan FC dalam perlawanan pertama Piala SMJ 2022 Ahad lalu.
“Namun prestasi hari ini (semalam) lebih baik berbanding perlawanan pertama dengan pasukan TRW Kelantan FC tempoh hari tetapi kita harus ingat apabila kita mendahului, kita selalu leka dimana ini tidak boleh diulangi.
“Pada perlawanan ini (menentang Sarawak United FC) kita berjaya mendapat gol kemenangan pada minit terakhir tetapi secara keseluruhan kita harus memperbaiki lagi permainan. Kita perlu meneruskan corak permainan yang agresif apabila mendahului perlawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang Sarawak United FC disini semalam.
Kim Swee mengakui pemain yang diturunkan semalam masih belum cukup cergas, termasuk Baddrol Bakhtiar yang masih mengalami kecederaan dengan hanya 16 pemain sebagai pilihan untuk diturunkan.
Pada perlawanan kedua itu, skuad kendalian Kim Swee hampir berputih mata apabila gawang Sabah FC dibolosi jaringan pasukan lawan pada minit ke-89, menjadikan kedudukan terikat 1 – 1.
Sabah sebelum itu mendahului 1 – 0 hasil jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit kesembilan.
Bagaimanapun, N Thanabalan menyelamatkan maruah Sabah FC apabila berjaya menjaringkan gol pada minit akhir sebelum wisel penamat ditiupkan membolehkan Sabah mendapat tiga mata dengan jaringan 2 – 1.
Jaringan yang berselang tidak sampai seminit selepas pemain import Sarawak United, Uche Agba, menjaringkan gol tunggal pasukannya sekali gus meletakkan Sabah di tangga kedua saingan SMJ Cup di belakang Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Sabah FC akan bertemu KDA FC dalam perlawanan ketiga SMJ Cup pada jam 9 malam di Stadium Likas, Jumaat ini.