HomeUtamaABM Sabah sedia lahir keperluan tenaga kerja sektor pembinaan

ABM Sabah sedia lahir keperluan tenaga kerja sektor pembinaan

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Akademi Binaan Malaysia (ABM) Kampus Sabah akan melaksanakan usaha lebih agresif termasuk mempromosikan kursus ABM di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini bagi melahirkan keperluan tenaga kerja di sektor pembinaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia juga akan dapat memastikan peluang kerja dan ekonomi dalam sektor pembinaan akan dapat dinikmati oleh semua rakyat di negeri ini.

Katanya, ABM Sabah turut dijangka akan mampu melahirkan sehingga 10,000 tenaga kerja mahir tempatan setahun apabila kampus tetap ABM Sabah yang baharu di Beringgis, Papar dengan kos RM80 juta siap dalam jangka tempoh dua tahun setengah.

“Kita memerlukan banyak tenaga kerja bagi memenuhi keperluan dan juga kekosongan pekerjaan yang akan muncul apabila 19 pakej baharu Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilancarkan nanti.

“Kita telah menerima komitmen sepenuhnya daripada kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyiapkan 19 pakej berkenaan dalam masa lima tahun dan kerajaan membelanjakan kira-kira RM12 bilion untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat dari ABM Sabah sempena program FTRoadpedia Sabah di sini hari ini.

Arthur berkata, syarikat kontraktor tidak boleh bergantung hanya kepada pekerja asing untuk menyiapkan baki projek pembinaan lebuh raya itu.

“Oleh itu, ABM adalah merupakan agensi terbaik khususnya dalam sektor pembinaan untuk memastikan bahawa belia di Sabah atau rakyat tempatan kita disediakan dengan kemahiran dan pensijilan yang paling sesuai untuk memenuhi peluang pekerjaan yang akan wujud itu,” katanya.

Kampus ABM Sabah pada ketika ini beroperasi sementara di tapak seluas 3.6 hektar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dengan keupayaan melahirkan 800 tenaga kerja mahir setahun.

Arthur berkata, kampus baharu ABM Sabah di Beringgis, Papar akan dibangunkan di tapak seluas kira-kira 20 hektar dan dijangka bermula selepas jalan masuk dengan kos RM1 juta disiapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah tidak lama lagi.

Katanya, lepasan ABM Sabah mendapat permintaan yang menggalakkan daripada industri pembinaan dengan 90 peratus daripada pelatihnya mendapat pekerjaan selepas tamat kursus.

“Antara kursus atau bidang yang paling laku ialah pemasangan perancah, pengendali jentera pengorek, kren dan jurukimpal. Banyak lagi kursus jangka pendek antara dua bulan hingga enam bulan ditawarkan di ABM,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas rentung dalam kebakaran rumah di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya