HomeIsu tempatanDBKK laksana penangkapan, pengawalan anjing terbiar

DBKK laksana penangkapan, pengawalan anjing terbiar

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima sebanyak 880 aduan kacau ganggu anjing yang direkodkan sepanjang tahun lalu sehingga 23 Mei 2022 yang lalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, dari jumlah itu sebanyak 617 aduan diterima sepanjang tahun lalu manakala 263 lagi aduan direkodkan sehingga 23 Mei lalu.

Katanya, pihaknya telah melaksanakan penangkapan dan pengawalan anjing terbiar berdasarkan Tatacara Operasi Piawai (Standard Operating Procedure) di bawah Undang-Undang Kecil Pendaftaran dan Kawalan Anjing (Pindaan) 2008.

Menurutnya, SOP itu juga telah dibentangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah pada 17 Mei yang lalu dan ianya selari dengan Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

“Bahagian Kawalan Haiwan di bawah Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya,DBKK berfungsi untuk memastikan kawasan awam adalah bebas daripada anjing terbiar atau anjing bertuan yang berkeliaran.

“Antara perkara yang diadukan adalah anjing terbiar mengejar, menyalak atau menggigit orang awam dan keadaan ini menyebabkan kebimbangan orang awam terhadap keselamatan mereka.

“Para penduduk juga mengadu terganggu dengan bunyi bising salakan anjing, tong sampah diselongkar oleh anjing dan sampah bertaburan serta persekitaran yang kurang selesa dan kotor,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Noorliza berkata, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, DBKK bertanggungjawab untuk memastikan isu anjing terbiar ini adalah terkawal agar tidak menimbulkan risiko kacau ganggu terhadap orang awam.

Katanya, DBKK juga mahu mengelakkan dan mencegah penularan penyakit Rabis (Rabies) yang juga dikenali sebagai penyakit anjing gila.

“Antara kaedah penangkapan anjing yang digunapakai oleh DBKK adalah dengan menggunakan jaring (net) dan perangkap anjing (trap). Anjing-anjing yang berkeliaran di tempat awam akan ditangkap oleh pasukan penangkap anjing yang terlatih.

“Anjing yang ditangkap akan dimasukkan ke Paun Haiwan, DBKK dan disimpan selama tujuh hari bagi mengenal pasti pemilik anjing tersebut dan jika tiada tuntutan terhadap anjing berkenaan, ia akan diserahkan untuk adopsi.

“Mana-mana anjing yang tidak berjaya untuk diadopsi, DBKK akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) untuk memusnahkan anjing tersebut dengan kaedah ‘Put to Sleep’,” katanya.

Sementara itu, Noorliza kerjasama dengan DVS ini juga merangkumi khidmat veterinar bagi merawat anjing yang cedera atau sakit.

Justeru katanya, DBKK menasihatkan para pemilik anjing untuk mendapatkan lesen anjing bagi anjing peliharaan mereka.

“Mengikut Undang-undang Kecil yang sama, anjing peliharaan yang berumur enam bulan ke atas hendaklah dilesenkan.

“Kadar lesen bagi anjing betina adalah RM10 seekor, manakala kadar lesen bagi anjing jantan dan anjing betina (telah dikembiri) adalah RM5 seekor.

“Bagi tujuan kawalan, polisi DBKK hanya membenarkan pemeliharaan dua ekor anjing sahaja bagi setiap rumah kediaman yang berhalaman dan berpagar. Jenis bangunan seperti rumah kedai, kondominium, flat dan rumah pangsa serta kediaman yang tidak mempunyai halaman berpagar, tidak dibenarkan untuk memelihara anjing,” katanya.

Selain itu, Noorliza berkata, pihaknya turut menyeru kepada pemilik anjing agar lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan anjing mereka berada di tempat awam.

Katanya, anjing mereka hendaklah divaksinasi agar bebas dari penyakit dan dikembiri untuk mencegah pembiakan yang tidak diingini.

“Bagi pemilik anjing yang ingin berpindah rumah, DBKK meminta agar mereka membawa sekali anjing peliharaan bersama ke rumah yang baharu dan tidak meninggalkan haiwan peliharaan mereka terbiar tanpa bertuan.

“DBKK juga akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani isu anjing-anjing terbiar ini terutama sekali mereka yang mengendalikan pusat perlindungan haiwan.

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan lesen anjing atau mengadopsi anjing yang terbiar atau tidak bertuan, mereka bolehlah menghubungi Bahagian Kawalan Haiwan, DBKK di talian 088-244000,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengalaman Mengecewakan dengan Fly Pass Syarikat Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular