KSTI komited terajui, sokong visi dan misi Kerajaan Negeri perkasa aspek STI

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 9 Second

SANDAKAN : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah sentiasa komited untuk menerajui dan menyokong visi dan misi Kerajaan Negeri khususnya dalam memperkasakan aspek sains, teknologi dan inovasi (STI) di segenap lapisan masyarakat.

Menterinya, Datuk Yakub Khan berkata, ianya adalah bagi memastikan Sabah mampu mencapai status negeri maju seperti yang dirancang.

Katanya, KSTI akan terus menggembleng usaha melalui pelaksanaan pelbagai program agar STI akan dapat disebar luas dengan lebih berkesan.

“Di pihak kementerian juga akan sentiasa memastikan kemampanan inisiatif ini menerusi jaringan kerjasama dengan rakan strategik seperti mana yang termaktub di dalam Pelan Strategik KSTI dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“KSTI dengan kerjasama Planetarium telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 yang bertepatan dengan objektif untuk memperkasa komuniti dalam bidang sains melalui pendedahan di peringkat akar umbi.

“Ini juga adalah sejajar dengan usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran awam tentang kepentingan dan peranan bidang sains dan angkasa di kalangan masyarakat Sabah khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 di sini semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Yakub berkata, Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 ini merupakan satu platform yang akan dapat merangsang minat dalam ilmu astronomi terutamanya di kalangan generasi muda, dengan menyediakan dasar yang kuat, sebagai rujukan kepada kajian ilmiah, dan manfaat kepada teknologi astronomi.

Katanya, Astronomi adalah kajian tentang segala-galanya yang beredar di alam semesta di luar atmosfera bumi.

“Ini termasuklah planet dalam sistem suria, bintang dan matahari. Dengan ilmu astronomi, kita boleh mempelajari serta menghayati dengan lebih mendalam, menggunakan teleskop dan instrumen saintifik lain pada jasad cakerawala yang menghasilkan fenomena-fenomena luar atmosfera bumi.

“Ilmu astronomi dalam beberapa kurun waktu sempat menjadi ‘anak tiri’ dan kurang dititikberatkan. Namun, kebelakangan ini, minat masyarakat terhadap ilmu astronomi mulai meningkat.

“Seiring dengan apresiasi masyarakat dan liputan media tentang pelbagai fenomena alam semesta, Planetarium Negara telah menjadi sumber mempelajari ilmu astronomi yang menginspirasikan betapa perlunya sumber informasi yang boleh memberi kefahaman kepada kita tentang potensi dan fenomena alam ini,” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata, ketiadaan Planetarium Negara di negeri Sabah maka terilhamlah program Jelajah Astronomi di Pantai Timur Sabah bagi membolehkan masyarakat setempat yang berminat dalam bidang astronomi mengeksplorasi dan melihat semua imej luar angkasa dengan lebih dekat melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dan peralatan teknologi yang digunakan.

“Oleh itu, ayuh warga Sandakan khasnya pemimpi yang bercita-cita ingin melihat ‘langit’. Program ini akan merealisasikan mimpi kita yang takjub dengan keindahan gugusan bintang malam dan ingin melihatnya dengan lebih dekat dan secara langsung,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *