HomeIsu tempatanUMS, SK Kuamut jalankan Projek Inovasi Tanaman Cendawan

UMS, SK Kuamut jalankan Projek Inovasi Tanaman Cendawan

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuamut, Kinabatangan berjaya menghasilkan 300 bongkah cendawan menerusi projek inovasi bongkah cendawan tiram.

Projek selama 20 bulan yang dimulakan sejak 1 November 2020 itu merupakan sebuah projek inovasi yang dibiaya oleh Dana Inovasi Sekolah (DIS2020) melalui Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS.

Ketua projek, Profesor Madya Dr. Suzan @ Sarah Benedick berkata, projek tersebut selari dengan hasrat UMS ke arah melahirkan budaya berinovasi yang boleh memberi manfaat kepada komuniti sekitar.

“Program itu dijangka dapat membantu komuniti Kuamut yang merupakan golongan berpendapatan rendah untuk mempelbagaikan pendapatan sampingan selain dapat menimbulkan minat para pelajar untuk mempelajari penghasilan bongkah cendawan dengan mudah secara kreatif dan berinovatif.

“Walaupun perjalanan ke SK Kuamut hanya boleh dicapai menggunakan pengangkutan air dan mengambil masa selama lebih kurang 7 jam dari Bukit Garam, ia tidak mematahkan semangat para pensyarah UMS untuk mendekati masyarakat Kuamut dengan berkongsi ilmu dan kemahiran tanaman cendawan,” katanya.

Tambah beliau, projek itu turut disertai oleh ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kuamut yang berasal dari perkampungan berhampiran di Mukim Kuamut seperti Kg. Kuamut, Kg. Tulang-tulang dan Kg. Tangkuyan.

Aktiviti yang dilaksanakan pada projek itu melibatkan dua peringkat iaitu perkongsian ilmu tentang tanaman cendawan secara dalam talian dan perkongsian kemahiran secara bersemuka tentang inovasi membuat bongkah cendawan.

Pada peringkat pertama, para peserta telah diberi pendedahan ilmu tentang jenis-jenis cendawan yang sesuai diusahakan oleh komuniti, campuran asas membuat bongkah cendawan, kaedah menghasilkan bongkah cendawan dan kaedah membuat benih cendawan.

Manakala pada peringkat kedua pula, para peserta telah mempelajari teknik penghasilan bongkah cendawan menggunakan bahan organik yang terdapat di sepanjang Sungai Kinabatangan.

“Pemantauan dari masa ke semasa tentang perkembangan pertumbuhan benih cendawan pada bongkah tersebut turut dilaksanakan untuk memastikan projek ini berjaya dilaksanakan,” ujar Suzan.

Hadir sama, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan, Munah Nasri; Guru Besar SK Kuamut, Abdullah Abdulajid serta ahli-ahli projek iaitu Profesor Dr. Abdul Hamid Ahmad, Dr. Mohd Rakib Mohd Rashid, Dr. Salumiah Mijin, Dr. Clament Chin Fui Seung dan Dr. Januarius Gobilik.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular