HomeIsu tempatanMUTIARA GRS diharap terus jalin kolaborasi pintar dengan agensi kerajaan - Joachim

MUTIARA GRS diharap terus jalin kolaborasi pintar dengan agensi kerajaan – Joachim

Read Time:2 Minute, 34 Second

RANAU: Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) diharap dapat terus menjalinkan kolaborasi pintar dengan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan termasuk di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menyuarakan harapan ini semasa berucap pada Majlis Perasmian Jerayawara Keluarga Malaysia: Peka @LPPKN Gabungan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Karanaan dan Paginatan, sempena Hari Ibu Peringkat Negeri Sabah 2022 di Dewan Masyarakat Ranau di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh isteri Ketua Menteri yang juga Pengerusi MUTIARA GRS-BN, Datin Seri Juliah Salag

Katanya, kolaborasi bijak di antara LPPKN dan MUTIARA GRS ini dilihat sebagai platform jitu yang dapat menjadi pemacu kepada kekukuhan institusi kekeluargaan yang berfokus kepada masyarakat di daerah ini sekaligus memberikan ilmu pengetahun dan pengalaman baru kepada mereka dalam menguruskan hal-hal keluarga mereka masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, penerapan konsep Keluarga Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9 yang bertujuan untuk memfokuskan perspektif institusi kekeluargaan di Malaysia dengan menggariskan tiga teras utama di bawah lembayung Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dilihat dapat menjadi pemangkin dan pengukuh kepada perlaksanaan program ini di peringkat akar umbi agar masyarakat mendapat manfaat serta memahami akan konsep yang diperkenalkan ini.

“Selain itu, teras ini juga akan menjunjung nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berpaksikan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara agar masyarakat kita sentiasa hidup dalam suasana yang aman dan damai yakni sejahtera dan bahagia dalam satu bumbung keluarga kerana kekukuhan institusi kekeluargaan ini akan memberikan impak kepada pembangunan negara secara amnya dan negeri Sabah khususnya.

“Sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan juga ADUN Kundasang, saya menyambut baik akan usaha ini dan berharap agar program seumpama ini akan kerap diadakan di daerah ini.

“Ini kerana ketiga-tiga kawasan DUN ini sangat luas dan sebaiknya kita dapat menjelajah untuk masuk ke kawasan kampung mengikut pembahagian Mukim untuk memberikan perkhidmatan sebegini kepada penduduk-penduduk kampung yang tidak berkesempatan untuk menghadiri program pada hari ini. Saya yakin ADUN Karanaan dan ADUN Paginatan juga bersependapat dengan saya,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ketiga-tiga isteri wakil rakyat yang juga merupakan ahli MUTIARA GRS, Datin Linda Ewit bagi DUN Kundasang, lDatin Seri Nur Farizah Abdullah bagi DUN Karanaan dan Datin Florence Malangking bagi DUN Paginatan atas usaha murni untuk masyarakat di Ranau.

“Sesungguhnya saya amat terharu akan penganjuran program seumpama ini kerana ini adalah merupakan program yang julung kali diadakan di Ranau melalui gabungan tiga kawasan DUN ini. Saya percaya bahawa program yang telah dirancang ini akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat secara amnya dan para peserta program pada hari ini secara khususnya,” ujarnya, sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ibu kepada semua kaum wanita yang bergelar Ibu, sesungguhnya kasih ibu selamanya.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan LPPKN Sabah, Suszma Khairitszi Mamat; Pemangku Ketua Polis Daerah Ranau, ASP Jailix Amindang; ahli-ahli Mutiara GRS, Ketua-ketua Jabatan dan Pemimpin-pemimpin masyarakat.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Siswa UMS santuni komuniti kampung di Tambunan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular