KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengiktiraf pencapaian Sekolah Kebangsaan (SK) Kirokot, Ranau, kerana membanggakan Sabah dengan memenangi pelbagai pingat emas dalam pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa pada tahun lalu.
Sekolah itu juga merupakan pencapaian yang pertama untuk sekolah rendah luar bandar apabila memenangi Anugerah Kebangsaan Karnival Kumpulan Inovatif dan Kreatif Profesionalisme Keguruan (KIKPK) menewaskan banyak sekolah dan institusi pendidikan di negara ini.
Untuk pencapaian itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah menyampaikan sumbangan RM10,000 untuk dana iInovasi sekolah itu dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu dekat sini hari ni.
“Tahniah kepada guru dan murid. Pencapaian sebegini bukanlah mudah bagi sekolah luar bandar menghadapi pelbagai cabaran, termasuk ketersambungan capaian internet (connectivity).
“Ini adalah bukti bahawa dengan usaha gigih dan dedikasi, tiada yang mustahil,” katanya sambil menambah bangga dengan guru dan murid SK Kirokot.
Hajiji berharap sekolah itu akan terus membawa kebanggaan kepada Sabah dan akan dicontohi oleh sekolah lain di negeri ini.
Dua murid tahun enam, Areha Heavenea Azri dan Jetty Lorrend memenangi pingat emas dalam Anugerah Rekacipta dan Inovasi Belia Dunia (Indonesia), Pertubuhan untuk Promosi Kreativiti, Inovasi dan Reka Cipta (Nigeria) dan Pertandingan Inovasi Maya Antarabangsa UiTM Kelantan diadakan secara maya pada tahun lepas.
Inovasi kemenangan mereka dinamakan Topeng Muka 2.0, yang dibuat menggunakan bahan daripada botol plastik.
Murid-murid juga memenangi Anugerah Khas Sirim, manakala guru-guru SK Kirokot Hallsen Justin, Indro Ebin dan Juhidin Jukilin memenangi KIKPK dengan permainan matematik dalam talian interaktif inovatif mereka.
Turut hadir guru besar SK Kirokot, Jeffrey Siga mengetuai rombongan bertemu Ketua Menteri.