Syabu bernilai RM1.76 juta dirampas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau merampas lebih 32 kilogram dadah dipercayai jenis ‘methamphetamine’ di perairan Inderasabah di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, semasa rondaan Op Sejahtera, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan bergelap dan mencurigakan di kawasan sekitar 0.2 batu nautika selatan Indrasabah pada jam lebih kurang 11.30 malam.

Katanya, semasa dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri menuju ke arah muara Sungai Inderasabah.

“Ketika pihak kita mengejar bot tersebut, juragan bot bertindak membuang sesuatu keluar dari bot. Usaha bagi menghentikan bot dan suspek gagal apabila tekong bot bertindak memecut laju ke arah kawasan paya bakau dan perairan cetek bagi meloloskan diri daripada ditahan.

“Pencarian di kawasan persekitaran menemukan sebuah beg berisi 32 paket bungkusan dengan label teh cina ‘Guan Ying Wang’ yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat satu kilogram setiap satu paket dengan jumlah keseluruhan melebihi 32 kilogram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, kesemua hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM 1.76 juta dan kes ini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan sindiket atau dalang yang terlibat dengan kegiatan ini.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *