PITAS: Gelombang banjir yang melanda daerah ini sebanyak dua kali pada Februari lalu telah memberi kesan emosi kepada lebih 500 mangsa yang terlibat.
Berikutan itu, Yayasan Nur Jauhar (YNJ) tampil menghulurkan sumbangan kepada 66 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat iaitu baki KIR selepas menyantuni 396 KIR pada Jun lalu.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan diiringi Pengerusi YNJ, Brigedier Jeneral Al Hambra Juhar di R&R Bengkoka di sini hari ini.
Menceritakan pengalaman dibadai gelombang banjir, seorang nenek, Urondoi Jina, 80, berkata rumahnya di Kampung Kabatasan telah ditenggelami air pada paras dada dan terpaksa ditinggalkan seterusnya berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Kunsilad.
“Waktu itu air sudah sampai paras dada, jadi anak ajak saya keluar dan pergi ke PPS sebab katanya banjir ini boleh mengancam nyawa.
“Sedih tinggalkan rumah tetapi saya bersyukur kerana kami semua selamat dan saya ingin berterima kasih kepada YNJ yang sudi memberi sumbangan,” katanya.
Berkongsi perasaan sama, rakan sekampungnya, Janaik Jina, 57, yang tinggal di lereng bukit namun jalan masuk ke rumahnya sudah digenangi air sedalam paras pinggang lalu diarah berpindah ke PPS oleh para pegawai Jabatan Kebajikan.
“Hanya saya dan seorang anak berpindah ke PPS, sementara isteri dan anak-anak yang lain masih tinggal di rumah sebab risau berlaku kecurian, lagipun kedudukan rumah itu memang tinggi dan selamat.
“Saya akan gunakan sumbangan ini sebaik-baiknya untuk perbelanjaan harian keluarga. Terima kasih kepada pihak yang prihatin dan bermurah hati,” katanya.
Pada majlis itu, Toh Puan Norlidah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil-wakil agensi serta jabatan yang terlibat dalam operasi banjir iaitu Hospital Daerah Pitas, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Air Daerah, Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pitas dan Bengkoka, Angkatan Pertahanan Awam, SESB, Penyelia Sekolah Agama, Syarikat Ain Teguh, Mahkamah Anak Negeri serta Puspanita Daerah Pitas.
Hadir sama, Pegawai Daerah Pitas, Firuz Idzualeen @ Benetty Mohd Dzul, isteri ADUN Pitas, Datin Seri Asiah Udian, isteri ADUN Bengkoka, Norhaidah Kili dan Pengerusi Puspanita Cawangan Sabah, Datin Seri Panglima Nuinda Alias.