HomeIsu tempatanCoreHalal tembusi pasaran global

CoreHalal tembusi pasaran global

Read Time:2 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Sistem digital CoreHalal Sabah yang dibangunkan sebuah syarikat pembangunan aplikasi berpangkalan di ibu negeri Synxsoft Sdn Bhd dijangka bakal memperolehi lebih 100 langganan sedia ada dari pasaran di Australia.

Sistem yang dikenali sebagai Halal Assurance System (HAS) itu kini sudah mempunyai 65 pengguna perintis di negara ini dan sistem ini menggunakan model hasil langganan yang mana pengguna akan dicaj melalui yuran berulang secara bulanan atau tahunan untuk menggunakan platform berkenaan.

Manakala harga ditetapkan pada kadar yang rendah bagi memastikan ia adalah mampu milik kepada semua peringkat perniagaan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Synxsoft, Mazrie Mahat, berkata sistem berkenaan direka bentuk secara spesifik untuk memudahkan perniagaan halal dengan menghapuskan tugasan secara manual dan mengelakkan ketidakpatuhan.

“Ia digabungkan dengan teknologi terkini seperti ‘blockchain’, kepintaran buatan (AI) dan beberapa elemen ‘internet of things’ (IoT).

“Teknologi yang berkuasa ini membolehkan perniagaan meningkatkan kawalan terhadap rantaian bekalan halal mereka dan meningkatkan keupayaan untuk mengesan produk,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mazrie yang juga pengasas CoreHalal berada di World Halal Business Circuit (WHBCC) di Melbourne, Australia untuk pelancaran HAS, di sini kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Zainudin Aman.Pada majlis pelancaran HAS itu, CoreHalal juga bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CEO Halal Development Corporation (HDC) Hairol Ariffein Sahari untuk menjalin kolaborasi strategik yang disaksikan Zainudin.

Kerjasama HDC dan Synxsoft membolehkan HAS disepadukan dengan Halal Integrated Platform (HIP) di bawah tawaran baharu mereka yang dikenali sebagai HIP Membership Pro.

HIP Pro membolehkan pengguna mempunyai akses tambahan kepada data yang tersedia dalam HIP, iaitu alat untuk mendapatkan bahan halal yang membolehkan pemilik perniagaan menguruskan operasi perniagaan halal mereka dengan berkesan.

Kerjasama dengan HDC membolehkan Synxsoft mengembangkan pasaran mereka secara global.

“Impak pandemik COVID-19 global telah mendorong lagi penerimaan teknologi digital untuk berkomunikasi dan menjalankan perniagaan secara maya, menjadikan dunia benar-benar tanpa sempadan.

“Ia amat penting untuk dimanfaatkan era digital untuk semua pemain dalam industri Halal,” kata Hairol.

Sementara itu, Zainudin berkata, CoreHalal menjadi pemula teknologi yang pertama dari Sabah menembusi pasaran global.

“Seperti yang kita tahu, Halal ialah sebuah industri global yang mempunyai tempat di seluruh negara.

“Peluang CoreHalal sangat besar kerana belum ada platform digital yang menawarkan perkhidmatan sama setakat ini. Inilah kekuatan CoreHalal.

“CoreHalal sangat sesuai dengan proses audit untuk ‘Hazard Analysis and Critical Control Point’ (HACCP), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan persijilan International Standard for Organisation (ISO),” katanya.

Beliau menambah, ia bakal menyediakan manfaat yang berganda kepada perniagaan halal kecil dan sederhana.

Selain CoreHalal, Zainudin berkata, KSTI akan meningkatkan usahanya dan mengadakan lebih banyak program untuk pemula teknologi menerusi SCENIC.

Kejayaan CoreHalal ini bermula dengan Pitchborneo, program yang disokong penuh oleh KSTI untuk melahirkan lebih banyak tech startup dan social entreprise yang berkualiti.

Ketika ini, katanya pembinaan bangunan Sandbox di Wisma Bandaraya masih dilaksanakan yang apabila siap nanti bakal menempatkan pemula untuk menguji idea mereka.

Kehadiran CoreHalal di Melbourne mendapat subsidi daripada Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Program pertandingan inisiatif terbaik erat hubungan silaturrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular