KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah akan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa Pertama bermula esok dengan mengekalkan sebahagian besar Standard Operasi Prosedur (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam pelaksanaan PPN Fasa Pertama, beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi.
“Antara yang dibenarkan beroperasi antaranya makan (Dine-In) di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel; gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya dan kedai gunting rambut.
“Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal adalah dibenarkan,”katanya dalam kenyataan disini pagi ini.
Hajiji berkata, aktiviti pembuatan dan perkilangan turut diperluaskan kepada getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot.
“Perincian berhubung SOP negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat,”katanya