HomeSukanPiala AFF: Stadium Nasional Bukit Jalil jadi gelanggang rasmi Harimau Malaya -...

Piala AFF: Stadium Nasional Bukit Jalil jadi gelanggang rasmi Harimau Malaya – FAM

Read Time:1 Minute, 43 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bermula 20 Disember ini.

Selain Piala AFF, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata aksi antarabangsa Tier 1, bertemu Kemboja pada 9 Disember sebagai persiapan pasukan kendalian Kim Pan Gon menjelang pertandingan bola sepak berprestij di Asia Tenggara itu, akan turut berlangsung di stadium kebanggaan Malaysia itu.

Justeru, Noor Azman mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas keprihatinan dan persetujuan pihaknya, untuk membenarkan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai ‘Home of Harimau Malaya’ bagi saingan Piala AFF 2022.

“Kami sedia maklum mengenai keadaan padang di Stadium Nasional dan akan mengambil langkah bersama dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), dalam usaha memastikan kualiti padang berada pada tahap memuaskan pada perlawanan-perlawanan yang telah dijadualkan itu nanti.

“Kepada penyokong Harimau Malaya, kami berharap agar aura Stadium Nasional yang ditampilkan ketika Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu akan dapat diteruskan lagi pada perlawanan-perlawanan yang akan datang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam diikuti Singapura, Myanmar dan Laos dalam saingan yang berlangsung sehingga 16 Januari tahun depan.

Bagi saingan kali ini, pasukan kebangsaan akan menjadi hos kepada perlawanan melibatkan Laos pada 24 Dis dan Singapura pada 3 Januari 2023.

Harimau Malaya juga berpeluang beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya mereka layak ke separuh akhir, yang dijalankan secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 serta 9 atau 10 Januari 2023.

Malaysia hanya sekali memenangi saingan Piala AFF pada edisi 2010, sejak kejohanan dwitahunan itu bermula pada 1996 dan muncul naib juara pada 1996, 2014 dan 2018.

Thailand muncul pasukan paling berjaya dengan enam kejuaraan (1996, 2000, 2002, 2014, 2016, 2020) diikuti Singapura dengan empat kejuaraan (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam (2008 dan 2018).

Dalam pada itu, Noor Azman turut memaklumkan satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 di antara Malaysia dan Maldives, akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Disember ini.

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala SMJ : Persiapan Sabah FC untuk lihat kekuatan, kelemahan pasukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya