KOTA KINABALU: Pitchborneo merupakan platform pembangunan dan pendanaan idea perniagaan anjuran Sabah Techpreneur Association (SATA) melalui pembiayaan daripada Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (KSTI).
Menurut Presiden SATA, Saverinus Kitingan berkata, projek komuniti yang menyasarkan penglibatan usahawan inovasi dan teknologi pemula di peringkat akar umbi itu dimulakan oleh persatuan tersebut pada tahun 2011 sebagai acara tahunan sehingga ke hari ini.
“Secara ringkas, setiap tahun Pitchborneo akan diadakan di setiap zon iaitu Zon Pedalaman, Zon Pantai Barat, Zon Pantai Timur, dan Zon Utara bagi mencari 6 idea terbaik untuk dipertandingkan di pentas akhir yang akan diadakan di Kota Kinabalu.
“Namun kekangan bajet tahun ini hanya membolehkan pelaksanaan di 3 zon sahaja sebelum ke peringkat akhir negeri. Oleh yang demikian 8 idea terbaik (TOP 8) dipilih di setiap zon dengan tambahan 2 idea (‘wildcard’ pilihan penganjur) menjadikan 26 idea bertanding di Pitchborneo 2022 (PB2022) peringkat akhir negeri.
“10 pemenang idea terbaik yang terpilih oleh para juri profesional akan menerima geran bernilai RM20,000 berserta bimbingan daripada mentor perniagaan yang mempunyai kepakaran dalam industri masing-masing”, kata Saverinus dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebagai platform ‘business pitching’ tempatan yang terawal di Sabah, SATA melalui Pithcborneo menurut Saverinus telah melahir dan membangunkan lebih 1,200 orang usahawan aktif di seluruh Sabah.
Antara lain, usahawan-usahawan tempatan kelahiran Pitchborneo yang telah mencapai kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan seperti James Wong & Mathias Liew (Uinah Ginger Land), Irene Mositol (Dumowongi), Jubair Juhinin (Arnab Village), dan John Ho (Mamai Pet Food).
Selain itu, finalis PB2019, Mazrie Mahat turut mencipta nama sehingga ke peringkat antarabangsa melalui Core Halal dengan Syarikatnya kini bernilai RM 8.82 juta (penilaian MDEC- Malaysian Digital Economic Corporation).
Begitu juga dengan finalis PB2020, Mathew Johnny Kulai & Team Agridata yang membantu petani luar bandar mengemaskinikan data akaun jualan mereka untuk memudahkan kelulusan pinjaman bank melalui aplikasi AG-Fund.
“Yang uniknya, kedua-dua mereka ini bukanlah pemenang Pitchborneo tetapi rezeki mereka pada MyHackathon 2020 sebagai pemenang dari Sabah dengan dana lebih besar sebanyak RM250,000 setiap satu. Mazrie muncul lagi di PB2022 tetapi kali ini sebagai juri dan Mathew pula kembali sebagai rakan kolaborasi SATA menawarkan Pakej Premium AG-Fund untuk semua finalis Pitchborneo 2022”, tambah Saverinus.
Signifikan usaha SATA melalui Pitchborneo menurut Saverinus dapat disaksikan sewaktu pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) pada Jumaat melalui ucapan Yang Amat Berhormat, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang menyatakan Pitchborneo sebagai inisiatif untuk meningkatkan kadar penglibatan pelajar dalam bidang STI dan STEM di bawah KSTI.