Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Rangka Tindakan Pertanian Sabah (RTPS) 2021-2030 telah diwujudkan bagi memastikan bekalan makanan di negeri ini terus terjamin.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, rangka itu adalah selari dengan Dasar Pertanian Negeri Sabah ketiga (DPNS3, 2017-2026).
Katanya, pelaksanaan RTPS adalah berdasarkan empat prinsip utama, iaitu pengeluaran, inovasi, kelestarian dan pembangunan modal insan.
“Saya percaya, ini selari dengan keutamaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang semakin giat memajukan pertanian berteknologi tinggi persis dan pintar.
“Saya dimaklumkan UMS menerusi Fakulti Pertanian Lestari (FPL) bertekad untuk melahirkan graduan dalam bidang pertanian berteknologi tinggi. FPL sedang membangunkan Program Sarjana Muda Teknologi Pertanian Persis Pintar (Smart Precision Farming) yang akan ditawarkan mulai tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-24Bagi Graduan Tahun 2022 sidang pertama di Dewan Canselor UMS disini hari ini.
Katanya, inisiatif UMS ini akan dapat memberi sumbangan besar dalam bidang pertanian dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kestabilan makanan dan mewujudkan jaminan peluang pekerjaan kepada graduan.
Sementara itu, Tun Juhar berkata, keupayaan pengeluaran makanan dan akses kepada makanan perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa.
“Meskipun pengeluaran makanan menjadi lebih mencabar akibat daripada cuaca yang tidak menentu, kekangan sumber, kesan pandemik COVID-19, dan konflik antarabangsa. Ini menyedarkan kita betapa pentingnya pertanian untuk menjamin sekuriti makanan dan sebagai penjana ekonomi rakyat dan negara.
“Sabah merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli termasuk tanah yang luas dan subur untuk pertanian.
“Sektor pertanian yang merangkumi tanaman, penternakan dan perikanan merupakan sektor keutamaan negeri Sabah. Sektor ini menyumbang sebanyak 16.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada tahun 2020,” katanya.
Katanya, keberadaan graduan dalam masyarakat adalah satu kekuatan, kerana kebijaksanaan graduan akan membawa kepada kemajuan.
“Para graduan perlu peka kepada perubahan semasa, berilmu dan berakhlak mulia, serta tidak mudah lentur menghadapi cabaran.
“Dengan sikap yang utuh dan kental ini, semoga para graduan mampu membina semula negara Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, berprestij dan disegani ramai, insya-Allah,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW