HomePolitikSemua akan tercapai dengan kerjasama, kestabilan dan perpaduan - Hajiji

Semua akan tercapai dengan kerjasama, kestabilan dan perpaduan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor malam ini berkesempatan meluangkan masa bersama sebahagian besar pemimpin dalam Kerajaan Negeri.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, beliau turut menyatakan pertemuan itu turut membincangkan usaha serta perancangan dalam membawa negeri Sabah ke tahap yang lebih baik pada tahun ini.

“InsyaAllah semuanya akan tercapai dengan kerjasama, kestabilan, perpaduan dan kesepakatan kita semua,” katanya di sini malam ini.

Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), turut hadir dalam pertemuan itu ADUN-ADUN dari Parti Bersatu Sabah (PBS), beberapa ADUN dilantik, dan beberapa ADUN dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Turut mencuri tumpuan apabila semua ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) dilihat hadir bersama dalam pertemuan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Antara ADUN GRS yang hadir adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Pertemuan itu sekaligus dilihat menamatkan spekulasi kononnya terdapat usaha untuk menggulingkan kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Terdahulu, petang tadi terdapat cubaan untuk menukar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menerusi ‘Langkah Kinabalu’ yang dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada segelintir pemimpin Parti Warisan (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN).

Pihak media petang tadi turut dimaklumkan akan berlangsung sidang media berasingan Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, namun kedua-dua sidang media berkenaan dibatalkan.

Pada ketika ini Kerajaan Sabah ditunjangi GRS-BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi, selain turut disokong PH Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.

GRS yang merangkumi bekas ADUN BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mempunyai 29 ADUN, termasuk tiga ADUN Dilantik.

BN pula mempunyai 17 ADUN termasuk dua ADUN Dilantik, manakala PH mempunyai tujuh ADUN, iaitu masing-masing empat DAP, diikuti dua PKR dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Selain itu, tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hentikan fitnah, Musa Aman pilihan tepat sebagai TYT Sabah – Yahya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular