Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy mencadangkan agar pendidikan literasi kewangan dijadikan sebagai subjek wajib universiti di akhir semester.
Katanya, ia adalah sebagai persediaan kepada pelajat untuk belajar mengurus kewangan mereka sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.
Beliau percaya menerusi cadangan itu ianya akan berupaya untuk menghasilkan belia-belia yang bijak merancang kewangan demi masa hadapan yang lebih kondusif dan sejahtera tanpa dibelenggu masalah hutang.
“Program literasi kewangan belia merupakan suatu program yang baik bagi melahirkan golongan belia celik pengurusan kewangan.
“Perkara ini penting memandangkan angka yang ditunjukkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) berkaitan kes kebankrapan bagi tempoh 2018 hingga Disember 2022 adalah sangat membimbangkan.
“Statistik menunjukkan seramai 10,302 individu membabitkan golongan muda berusia 25 hingga 35 tahun telah diisytiharkan bankrap akibat tersepit dengan pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan dan pinjaman perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan perbahasan Titah Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong pada Sidang Parlimen ke-15 di sini.
Andi berkata, secara purata dalam tempoh lima tahun tersebut sebanyak enam kes kebankrapan melibatkan golongan belia didaftarkan setiap hari dan statistik itu amat mengejutkan semua pihak.
Justeru katanya, inisiatif seperti ini penting untuk golongan belia bagi mengetahui aspek utama perancangan kewangan agar mereka menguruskan kewangan mereka dengan baik bagi meningkatkan kualiti dan kesejahteraan kehidupan mereka.
Sementara itu, Andi berkata, beliau turut menyambut baik hasrat murni Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan usaha mengembalikan hak Sabah dan Sarawak yang terhakis sebelum ini di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, perkara itu penting kerana MA63 merupakan dokumen rasmi di antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia yang dicintai.
“Bahkan ianya merupakan perjanjian yang bersifat antara bangsa dan didaftarkan di sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations – UN) pada 21 September 1970. Lantas, ianya wajib dipatuhi oleh kerajaan.
“Besar harapan kami agar impian ini dapat direalisasikan dengan kadar segera memandangkan perjanjian ini penting agar kemakmuran pembangunan ekonomi dan infrasturktur yang wajar dapat dikecapi oleh rakyat di Sabah dan Sarawak seiring dengan pembangunan yang dikecapi di semenanjung,” katanta. – SABAH MEDIA.