KOTA KINABALU: Cinnamon Netball Club yang menjuarai Kejohanan Bola Jaring Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, Isteri Ketua Menteri akan mewakili Sabah ke Kejohanan Bola Jaring Piala YAM Che’ Puan Besar Khaleeda di Negeri Johor, hujung minggu ini.
Kejohanan itu akan diadakan pada 25 dan 26 Februari 2023 di Arena Larkin, Johor Bahru.
Juliah semasa menerima kunjungan hormat pasukan bola jaring Cinnamon yang
diketuai oleh Pengerusinya, Hallenah Tuanggaak di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, berharap pasukan itu akan memberi saingan hebat kepada pasukan- pasukan lain yang menyertai kejohanan itu.
“Memandangkan 90 peratus pemain Cinnamon adalah pemain negeri yang
berpengalaman, saya yakin mereka akan cemerlang pada kejohanan kali ini”, katanya.
Beliau mengingatkan pemain Cinnamon mengutamakan disiplin dan menjaga kesihatan sepanjang menyertai kejohanan itu.
Cinnamon Netball Club daerah Keningau yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah pada 1 Mei 2022, muncul johan pada Kejohanan Bola Jaring Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag pada 15 Januari 2023 yang diadakan di Tuaran.
Sementara itu, Juliah turut menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa
Pelaksana Malam Gala Memori Seindah Nilam sempena Ulang Tahun Ke-45 Pertubuhan Wanita Sabah (PEWASA) yang diketuai oleh Anne Sidik dan Persatuan Masyarakat Cina Bersekutu Sabah Di Kota Kinabalu (USCCAKK), diketuai oleh Presidennya, Datuk Susan Wong Siew Guen.
PEWASA menjemput Juliah ke majlis Malam Jubli Nilam (Jubilee Sapphire) yang akan diadakan pada 25 Februari 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Sementara USCCAKK pula menjemput Juliah sebagai tetamu kehormat Majlis Makan
Malam Hari Wanita Sedunia 2023 (International Women’s Day Dinner 2023) yang
akan diadakan pada 4 Mac 2023 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu.
Turut hadir isteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datin Noriah Pg.Ahmad.