Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Kerajaan Persekutuan berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu, hari ini (29 Oktober).
Rayuan itu tertumpu kepada beberapa kekhilafan yang didakwa terdapat dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, termasuk dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil.
Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman Sabah Law Society (SLS) dan mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan menjalankan semakan semula bersama Kerajaan Negeri Sabah mengenai hak 40 peratus negeri itu bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021, dalam tempoh 90 hari, serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Pada 6 April lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan perintah berkenaan, termasuk tempoh 180 hari yang ditetapkan bagi rundingan, sementara menunggu keputusan rayuan Kerajaan Persekutuan.
Prosiding rayuan yang dijadualkan bermula jam 9 pagi itu turut boleh diikuti secara langsung melalui saluran audiovisual mahkamah di Dewan Persidangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, dengan kehadiran dihadkan kepada 250 orang.

Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, mengingatkan orang ramai yang berhasrat mengikuti prosiding supaya mematuhi syarat pendaftaran, peraturan mahkamah dan langkah keselamatan yang ditetapkan.
Beliau berkata pengaturan itu dibuat dengan kerjasama pentadbiran mahkamah dan pihak berkuasa keselamatan bagi membolehkan orang ramai mengikuti prosiding di dewan berkenaan, tanpa menjejaskan keselamatan dan kelancaran prosiding.
Orang ramai dinasihatkan hadir lebih awal dan mematuhi arahan pegawai mahkamah serta petugas keselamatan sepanjang proses pendaftaran dan kemasukan.
Pendaftaran akan dijalankan di pusat pemeriksaan yang ditetapkan berhampiran pintu masuk kompleks mahkamah, dengan pengunjung perlu mengimbas kod QR yang disediakan pihak mahkamah dan melengkapkan borang pendaftaran dalam talian.
Pas kemasukan akan diberikan kepada pengunjung yang layak selepas proses pengesahan dan diperiksa sekali lagi di pusat pemeriksaan kedua sebelum mereka dibenarkan memasuki dewan.
Nazim turut mengingatkan pengunjung supaya memakai pakaian formal yang bersesuaian dengan peraturan mahkamah.
Pemakaian selipar, seluar pendek dan pakaian kasual yang tidak sesuai adalah dilarang.
SLS turut menegaskan bahawa aktiviti mengambil gambar, merakam audio atau video, membuat siaran langsung serta menyiarkan semula prosiding melalui platform media sosial termasuk Facebook Live, TikTok Live, Instagram Live dan YouTube Live adalah dilarang sama sekali.
Siaran audiovisual yang disediakan di dewan persidangan hanya dibenarkan untuk tontonan di lokasi berkenaan.
Makanan dan minuman juga tidak dibenarkan di dalam dewan, namun air minuman akan disediakan di ruang legar di luar dewan.



