KOTA KINABALU: Majlis Jaksa-Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS) menyasarkan penyertaan seramai 2,000 peserta dalam MAJAPS Charity Run yang akan berlangsung di perkarangan ITCC Penampang, pada 6 Disember ini.
Presiden MAJAPS, Datuk Seri Dr Clarence B Malakun, berkata larian amal sejauh tujuh kilometer itu akan bermula dan berakhir di perkarangan ITCC Penampang, dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dijemput untuk menyempurnakan pelepasan acara berkenaan.
Beliau berkata, Tun Musa yang juga Penaung MAJAPS dijangka hadir pada kira-kira jam 4.30 petang bagi menyempurnakan pelepasan larian.
“Larian ini akan bermula dari perkarangan ITCC Penampang sejauh tujuh kilometer, mengelilingi kawasan SMK Datuk Peter Mojuntin dan Bulatan Sigah sebelum kembali semula ke ITCC.
“Kami menyasarkan seramai 2,000 peserta, terutama dalam kalangan pelajar sekolah di daerah Penampang dan Putatan serta sekitar Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.
Clarence berkata, MAJAPS Charity Run bukan acara berbentuk pertandingan, sebaliknya dianjurkan sebagai larian amal bagi mengumpul dana untuk menampung perbelanjaan majlis berkenaan sepanjang tahun.
“Ini adalah charity run, bukan perlumbaan. Tujuan utama kami adalah untuk mencari dana bagi perbelanjaan majlis setiap tahun.
“Kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai bagi menjayakan acara amal ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai yang berminat menyertai larian berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada urusetia penganjur di ITCC Penampang.
Hadir sama, Timbalan Presiden MAJAPS, Tan Sri Dr Andrew Liew Sui Fatt; Naib Presiden MAJAPS, Datuk Kevin Lim Thein Phin dan Datuk James Ligunjang; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Izharudin Jalaludin; serta Penasihat Kehormat, Datuk Sr Anthony C Linggian.



