Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan terus memantau tahap kebersihan para peniaga khususnya di bazar-bazar Ramadan yang dibuka sepanjang bulan Ramadan sekitar bandaraya Kota Kinabalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pemantauan itu akan terus dilaksanakan bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
“Tahap kebersihan dilihat meningkat dari tahun-tahun sebelumnya. Seperti biasa syarat-syarat kesihatan ditetapkan dimana para peniaga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Antaranya perlu ada kad kuning dan sebagainya. Memang kita ada buat pemantauan khususnya bersama jabatan kesihatan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Bazar Ramadan Asia City di sini hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.
Sebanyak tiga buah lokasi Bazar Ramadan dibuka pada tahun ini sekitar bandaraya Kota Kinabalu yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah.
Antara lokasi bazar yang dibuka ialah di Asia City, Taman Putera Jaya Telipok dan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selain itu, sebanyak lapan buah lokasi Bazar Ramadan yang lain turut dibuka dibawah kendalian DBKK.
Antaranya di Lintasan Deasoka, tapak pasar malam Sembulan, tapak parkir bersebelahan Bataras Indah Permai dan tapak parkir depan Daily Express Tanjung Aru.
Selain itu, turut dibuka adalah di pasar malam inanam; tapak pasar malam Kingfisher; pasar malam Inanam Point dan tapak parkir Dewan Damai. – SABAH MEDIA