RANAU: Seorang pekerja binaan lelaki berusia 23 tahun patah tulang punggung selepas terjatuh dari ketinggian 30-40 kaki atap bangunan yang sedang dalam pembinaan di KM 4, Gunung Kinabalu di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 2.11 petang tadi (26 Mac).
“Menurut laporan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) terdapat seorang pekerja binaan terjatuh dari atap bangunan dalam ketinggian 30-40 kaki yang sedang dalam pembinaan di lokasi kejadian.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh Pasukan MOSAR bersama anggota Malim Gunung serta Sabah Park dengan memindahkan mangsa dari lokasi mangsa terjatuh.
“Tindakan memasang cervical collar (alat penyangga leher) dan papan lapis diletakkan di belakang punggung mangsa. Mangsa mengalami kecederaan patah tulang punggung disebabkan terjatuh dalam keadaan terduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa telah dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan kaedah usungan (Robinson Stratcher) seterusnya dihantar ke Hospital Ranau menggunakan Ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 5:45 petang.