KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengalu-alukan penyambungan semula China Southern Airlines bagi laluan Kota Kinabalu-Guangzhou bermula 29 April 2023.
“Ia memberi petanda baik untuk pelancong berpotensi dari bandar peringkat kedua atau peringkat ketiga di China untuk melawat Sabah, memandangkan hab utama syarikat penerbangan itu ialah Guangzhou dengan sambungan ke bandar-bandar tersebut.
“Kami berharap dapat mengalu-alukan kira-kira 194 penumpang dari Guangzhou yang menaiki China Southern Airlines,” kata Christina dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengurus Besar China Southern Airlines Eric Wang (Pejabat Kuala Lumpur) pada Rabu.
Eric berkata, para penumpang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bai Yun di Guangzhou pada 3.10 petang dan tiba di sini pada 6.20 petang. Mereka akan menaiki penerbangan Airbus 321.
“Penerbangan pergi balik akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 7.20 malam pada malam yang sama dan tiba di Guangzhou pada 10.35 malam,” katanya.
China Southern Airlines terpaksa membatalkan laluan Kota Kinabalu-Guangzhou pada 2020 berikutan pandemik Covid-19.
Semasa memberi taklimat kepada Christina mengenai rancangan penerbangan semasa, Eric berkata penerbangan berjadual dari Kota Kinabalu ke Guangzhou akan diadakan tiga kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu mulai Jun ini.
“Penyambungan semula penerbangan terus ini akan membantu menjana peluang ekonomi dan meningkatkan pertukaran pelancongan antara China dan Sabah,” katanya.
Menurut Eric, China Southern Airlines memiliki armada terbesar dan rangkaian laluan paling maju, dan menawarkan kapasiti penumpang terbesar antara mana-mana syarikat penerbangan di China dengan jumlah armada 850 pesawat penumpang dan kargo.
“China Southern Airlines telah membentuk rangkaian luas di seluruh China yang menghubungkan Eropah dan Oceania dan mengembangkan ke seluruh Amerika Utara, Timur Tengah dan Afrika dari Asia,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian, Alesia Sion dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman.