Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Semua 30 rakyat Malaysia yang tiba di Jeddah pada malam Rabu waktu tempatan dijangka pulang ke tanah air menaiki pesawat Saudia esok.
Mereka yang terlibat tiba di Jeddah itu telah mengharungi perjalanan yang mencabar dari Khartoum Sudan bermula sejak Isnin lalu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan di media sosial rasminya berkata, konvoi tersebut tiba pada jam 8.54 malam waktu tempatan di Jeddah dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha dari Pelabuhan Sudan.
“Duta Besar Malaysia ke Sudan Mohamad Razdan Jamil selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah, Arab Saudi pada jam 8.54 malam (waktu Arab Saudi), 26 April 2023.
“Beliau telah disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Selain 30 rakyat Malaysia, 22 lagi warga asing yang dibawa keluar dari Khartoum bersama konvoi Malaysia telah dievakuasi ke Jeddah dari Pelabuhan Sudan dengan kapal Tentera Laut Arab Saudi H.M.S Abha.
“Sekali lagi, Kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat Kerajaan Arab Saudi atas bantuan dan layanan yang baik yang diterima sepanjang operasi ini berlangsung dengan jayanya,” tambah kenyataan itu lagi.
Selasa lalu, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberitahu bahawa 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum tiba di Port Sudan pada 8.07 malam waktu Malaysia pada Isnin selepas perjalanan darat sejauh 1,233 kilometer yang mengambil masa 30 jam.
Dalam misi itu, Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain dalam proses pemindahan itu termasuk 14 warga Singapura; enam warga Kemboja; dua warga Amerika Syarikat dan masing-masing seorang warga Thailand, Filipina, Sudan dan Palestin. – SABAH MEDIA