KOTA MARUDU: Ibu bapa diminta memberi keutamaan kepada aspek pendidikan anak-anak berbanding lain-lain urusan kehidupan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, setiap ibu bapa mesti mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa hanya dengan pendidikan, setiap orang mampu mengubah taraf hidup masing-masing.
Sehubungan itu juga katanya, setiap ibu bapa perlu membuat perancangan teliti dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak baik dari segi sokongan kewangan dan moral.
“Pendidikan merupakan instrumen yang amat penting dalam memacu hala tuju kehidupan anak-anak kita kerana dengan pendidikan akan dapat membuka peluang yang cerah bagi mendapatkan pekerjaan seterusnya menjamin kehidupan masa akan datang.
“Saya juga sempat berpesan kepada para ibu bapa agar bijak menyusun atur dan merancang masa depan anak-anak. Jangan biarkan pendidikan anak-anak tanpa hala tuju.
“Perancangan yang baik terhadap setiap kegiatan anak masing-masing akan dapat mendorong mereka untuk mencapai setiap cita-cita yang diimpikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Makan Malam Perwakilan Pelajar sempena Konvokesyen Pra-Universiti SMK Tandek Kota Marudu di Dewan Komuniti Kota Marudu semalam.
Menurut beliau kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai dasar dan program bagi melahirkan lebih ramai modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif serta menyediakan berbagai-bagai insentif sama ada dalam bentuk pembiayaan atau penyediaan prasarana bagi menjana lebih ramai modal insan berkualiti demi kesinambungan pembangunan negeri.
Jelasnya institusi pengajian tinggi (IPT) haruslah membuat perancangan dan hala tuju yang rapi untuk menyediakan peluang dan kemudahan pembelajaran yang terbaik agar mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mahir dan profesional dalam bidang-bidang yang strategik seperti sains dan teknologi, kejuruteraan, perniagaan dan ICT bagi menjamin peningkatan daya saing kita di peringkat global.
Redonah berkata, ada ibu bapa tertekan apabila anak-anak mereka menerima tawaran ke IPTA kerana ada antara mereka ini yang kurang bernasib baik dari segi kewangan, namun tekad dan fokus mereka dalam mengejar ilmu pendidikan tidak pernah padam.
“Inilah semangat dan kesedaran yang kita mahu tumbuh dalam kalangan masyarakat kita. Setiap dari kita punya peranan dalam mewujudkan saling keprihatinan dan cakna keperluan masyarakat lainnya.
“Justeru, saya menyeru agar semua IPTA sentiasa peka dengan perkembangan semasa sejajar dengan perubahan landskap ekonomi negara dan dunia. Kursus-kursus yang ditawarkan perlulah mengambil kira perkembangan dan perubahan yang berlaku agar ia sentiasa relevan bagi keperluan jangka panjang,” ujarnya.
Katanya, IPTA juga perlu menyuntik elemen-elemen soft-skills dalam memastikan graduan yang dihasilkan bukan sahaja berpengetahuan tinggi tetapi juga memiliki keterampilan dan multi-tasking agar dapat membantu meningkatkan peluang-peluang mereka memasuki pasaran pekerjaan kelak.
Beliau berharap usaha kecil ini dapat membantu para pelajar ini dalam menuntut ilmu demi mencapai kejayaan dalam pelajaran dan seterusnya mampu berbakti kepada kedua ibu bapa mereka serta negara ini satu masa nanti.