HomeUtamaCuaca panas: Tindakan tegas peniaga catut harga air minuman berbotol

Cuaca panas: Tindakan tegas peniaga catut harga air minuman berbotol

Read Time:1 Minute, 34 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Sandakan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mencatut harga air minuman berbotol, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas melanda negara kini.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Azdy Zukkry John berkata meskipun air minuman berbotol bukan barang kawalan, tindakan mencatut harganya boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Jika ada maklumat (peniaga mencatut), buat aduan, jangan tularkan atau peniaga itu akan hilangkan (hapuskan) bukti.

“Kita mahu bagi amaran kepada peniaga di luar sana, jangan ambil kesempatan menjual air mineral (air minuman berbotol) dengan harga tidak munasabah, lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini dengan cuaca panas dan masalah air di Sandakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat satu-satunya kilang pemprosesan air minuman di sini, Life Water Industries Sdn Bhd di sini semalam.

Azdy Zukkry mengulas tindakan segelintir peniaga mencatut harga air minuman berbotol itu setelah permintaan terhadap barang itu meningkat sejak beberapa bulan lepas.

Mengakui permintaan terhadap produk itu semakin tinggi, katanya bekalan daripada kilang bagaimanapun tidak berkurangan.

“Malah, kilang menambahkan bekalan. Tetapi pihak kami menasihati para pengguna supaya membeli dengan berpada-pada,” katanya.

Penolong Pengurus Kilang Life Water Industries Chong Yih Sien berkata kilang itu memproses 10,000 ribu karton air minuman berbotol bersaiz 1.5 liter sehari, namun susulan permintaan meningkat sejak beberapa bulan lepas, pihaknya menambah bekalan sehingga 50 peratus dengan meminta bantuan daripada kilang mereka di Kota Kinabalu, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga terpaksa menampung kos penyelenggaraan mesin pemprosesan air yang terjejas dengan kualiti air masin yang membelenggu Sandakan sejak beberapa bulan lepas akibat kerosakan loji rawatan air di Segaliud.

“Tapi bagi pihak syarikat, kami di sini boleh menjamin dan memberi keyakinan tidak ada kenaikan sebarang harga pada produk kami, ketika pada masa kesempitan dihadapi rakyat di Sandakan ini,” katanya. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

400 pelajar sertai Program Smart Jawab SPM 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular