Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Penampang : Orang ramai sekitar daerah ini dan yang berhampiran adalah dipelawa untuk hadir dan memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan daerah Penampang pada 21 Mei ini.
Pegawai Daerah Penampang Francis Chong berkata, sambutan yang akan berlangsung di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah itu akan dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.
“Kita menjemput orang ramai untuk hadir serta memeriahkan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang yang menghidangkan beberapa acara menarik iaitu pertandingan sugandoi di Kg Tuavon), Sodop Unduk Ngadau pada 18 Mei (Putera Ballroom) dan Pertandingan Unduk Ngadau (Dewan Pusat Kebudayaan Sabah) pada 21 Mei.
“Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan barang keperluan harian dengan potongan harga 15 peratus menerusi Jualan Madani, pameran jabatan-jabatan kerajaan, pertandingan sukan tradisi, pertandingan masakan tradisional, pertandingan ‘Magagung’ dan pertandingan Sumazau di Padang B, Lembaga Sukan Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di sini baru-baru ini.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Politik KUSKOP, Carl Mosoom, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Stanley Sikolis dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Noemi Dyena.