HomeUtamaMID gunapakai MBEF untuk bantu organisasi di Sabah capai kemampanan dan daya...

MID gunapakai MBEF untuk bantu organisasi di Sabah capai kemampanan dan daya saing

Read Time:4 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) akan mengunapakai kriteria Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (Malaysia Business Excellence Framework – MBEF) tahun ini untuk membantu organisasi di Sabah mencapai kemampanan dan daya saing.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, keputusan tersebut diambil kerana ada keperluan mendesak untuk mengubah perniagaan dan memulihkan ekonomi di negeri ini.

“Rangka kerja ini juga digunakan untuk menilai dan mengenali organisasi yang menyertai Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kualiti (QMEA) yang diperkenalkan pada tahun 1990 oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Katanya, inisiatif Business Excellence (kecemerlangan perniagaan) ini dipacu oleh Global Excellence Model Council (GEMC) yang dianggotai oleh 12 buah negara/benua (Amerika Syarikat, Australia, Kesatuan Eropah, Singapura, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Mexico, Brazil, China, dan Ibero Amerika). Malaysia juga merupakan ahli kepada Majlis ini dan diwakili oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Jelasnya, instrumen penilaian yang digunakan untuk menilai sistem dan amalan pengurusan sesebuah organisasi ditanda aras oleh kesemua negara ahli dalam Majlis.

Ini bererti bahawa organisasi di Malaysia yang dinilai menggunakan instrumen Business Excellence dan mendapat markah yang tinggi dalam penilaian tersebut adalah sama hebat dengan organisasi-organisasi di negara lain dalam majlis ini, tambahnya.

“Justeru itu, saya ingin menyeru supaya organisasi/industri di Sabah dapat menerapkan MBEF untuk mencapai kelestarian perniagaan, berdaya saing dan kecemerlangan operasi.

“Organisasi yang berupaya mencapai kecemerlangan operasi telah terbukti lebih berdaya tahan dan akan bertahan dalam waktu yang mencabar,” katanya semasa merasmikan pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah tahun 2020/2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sini hari ini.

Dr. Joachim berkata World Competitiveness Yearbook 2021 terbitan Pusat Daya Saing Dunia, Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland meletakkan daya saing global Malaysia pada kedudukan ke-25 daripada 64 ekonomi berbanding ranking ke-27 tahun lalu.

Antara faktor pencapaian ini adalah persekitaran perniagaan yang kondusif untuk membolehkan syarikat beroperasi lebih produktif dan berdaya saing, katanya.

Tambahnya, pertumbuhan lestari produktiviti bergantung kepada beberapa aspek iaitu modal yang produktif, pekerja dan persekitaran tempat kerja, sekali gus menuntut pembentukan semula persekitaran pekerjaan yang lebih dinamik dan berdaya saing.

“Budaya berorientasikan kecemerlangan adalah penting bagi organisasi untuk menghadapi perubahan dan mempercepatkan pertumbuhan serta bertindak pantas menghadapi cabaran yang tidak pernah terjadi sebelumnya terutamanya kesan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada masa kini.

“Kebanyakan perniagaan di seluruh dunia termasuk di Sabah terkesan dan menghadapi kesukaran kerana mereka akan menghadapi penutupan perniagaan, model perniagaan lama diambil alih oleh model perniagaan baharu, kesukaran menarik pelabur baharu atau pelabur yang menarik diri akibat daripada perubahan dalam model perniagaan yang telah berubah.

Selain daripada itu, Dr Joachim berkata, MID juga menyokong penuh inisiatif Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dirangka bagi mengoptimumkan sumber dan hasil negeri, merangsang pemulihan ekonomi dan meningkatkan ekonomi rakyat.

“Di bawah Pelan SMJ ini, Kementerian saya akan memastikan infrastruktur di Taman-Taman Perindustrian dipertingkatkan dan sentiasa tersedia untuk menerima pelabur. Pelan pembangunan SMJ ini akan pasti membawa pelaburan dari luar dan dalam negeri ke Sabah.

“Peningkatan kemasukan pelaburan berupaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dan seterusnya merealisasikan Sabah sebagai sebuah Negeri Perindustrian yang Maju Jaya,” katanya.

Beliau juga memaklumkan MID akan menyertai World Expo Dubai 2020 di Emiriah Arab Bersatu pada penghujung tahun ini, di mana sebanyak 11 usahawan IKS Sabah telah terpilih untuk mempromosikan produk Sabah semasa Expo Dubai tersebut.

Kerajaan negeri mensasarkan tempahan sebanyak RM25 juta semasa expo tersebut, katanya.

Anugerah Kecemerlangan lndustri Sabah atau AKIS diperkenalkan oleh MID semenjak tahun 2007 untuk mengiktiraf syarikat-syarikat Sabah yang cemerlang dan untuk mendorong peningkatan berterusan dalam produk yang dikeluarkan dan perkhidmatan yang diberikan.

AKIS dikategorikan di bawah dua sektor utama iaitu Anugerah Sektor Pembuatan dan Anugerah Sektor Perkhidmatan di mana kategori para peserta adalah seperti berikut;

· Kategori 1 – Syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM1 juta
· Kategori 2 – Syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM5 juta
· Kategori 3 – Syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM10 juta
· Kategori 4 – Syarikat tempatan dengan jualan tahunan RM10 juta hingga RM25 juta
· Kategori 5 – Syarikat tempatan dengan jualan tahunan lebih daripada RM25 juta hingga RM50 juta
· Kategori 6 – Syarikat tempatan dengan jualan tahunan lebih daripada RM50 juta atau syarikat milik asing

Dr. Joachim berharap melalui anugerah ini, industri dapat mengekalkan keupayaan untuk meningkatkan produktiviti mereka dengan menggabungkan secara bijak sumber pengeluaran yang sedia ada dan mampu bersaing dengan lebih hebat dalam usaha untuk membangunkan industri ke peringkat global.

Pendekatan ini memerlukan industri menerap dan mempraktikkan budaya kecemerlangan supaya keupayaan dan ketahanan mereka untuk bersaing di pasaran dalam dan luar negeri akan dapat dikekalkan dan seterusnya dipertingkatkan, katanya.

“Saya, selaku Menteri Pembangunan Perindustrian, menyeru supaya lebih banyak organisasi di Sabah dalam sektor pembuatan dan juga perkhidmatan mengambil bahagian dalam anugerah ini,” kata Dr. Joachim.

Pendaftaran secara dalam talian untuk menyertai anugerah ini akan bermula sebaik AKIS 2020/2021 dilancarkan pada hari ini melalui QR Code.

“Kemenangan bukan sahaja satu-satunya aspek yang disasarkan, apa yang lebih penting adalah ilmu yang bakal diperolehi semasa proses penambahbaikan dan pertumbuhan lestari secara sistematik yang dipelajari melalui proses penilaian yang akan dinilai oleh panel-panel penilai yang bertauliah,” tambah Dr Joachim.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular