Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA MARUDU: Dua kritikal daripada 20 pelajar asrama lelaki dari sebuah sekolah di Pitas telah dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Pitas kerana mengalami sakit perut disyaki meminum minuman berkarbonat 100 plus yang dicampur dengan cecair spirit.
Daripada 20 pelajar tersebut, dua daripadanya dalam keadaan kritikal dan masing-masing telah dirujuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (QEH) 1 dan QEH 2.
Kes kejadian berlaku pada 6 hingga 8 Jun itu membabitkan pelajar-pelajar berumur lingkungan 13 hingga 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintenden Zairolnizal Ishak ketika dihubungi Sabah Media mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurut Zairolnizal, satu laporan dibuat oleh pengadu pada Jumaat (9 Jun 2023) menyatakan telah terima panggilan daripada pihak Hospital Pitas memaklumkan seramai 20 orang pelajar telah dimasukkan ke Wad Kecemasan kerana disyaki meminum minuman berkarbonat 100 plus yang dicampur dengan cecair disyaki spirit.
Katanya, hasil temubual saksi-saksi dikalangan pelajar yang dirawat menyatakan pada 6 Jun 2023 jam lebih kurang 1 petang, salah seorang pelajar terbabit telah membeli satu botol minuman 100 Plus dan dua botol spirit dari salah sebuah supermarket berdekatan sekolah berkenaan.
“Tujuan kedua-dua cecair tersebut adalah untuk mendapat kesan yang sama dengan arak memandangkan kawasan sekitar asrama tidak ada menjual arak,” katanya.
Seterusnya saksi (pelajar) juga memberitahu pada jam 2 petang, dua pelajar (kritikal) telah mencampurkan cecair spirit dengan minuman berkarbonat 100 plus dan minum beramai-ramai di dalam bilik asrama.
Katanya, sejurus meminum campuran tersebut, tiga pelajar telah mengalami sakit perut dan mengadu kurang sihat kepada warden asrama. Warden Asrama membawa mangsa ke klinik komuniti berdekatan untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. Pelajar tersebut telah dibenarkan balik dan diarah untuk datang semula ke klinik jika gejala semakin teruk.
“Bagaimanapun pada 8 Jun 2023 jam lebih kurang 6.30 pagi, kes pertama dibawa ke unit kecemasan Hospital Pitas melibatkan tiga pelajar. Semasa menerima rawatan, dua pelajar dalam keadaan kekejangan otot, tercungap-cungap dan bacaan GCS menjadi sangat lemah dan dirawat melalui intubasi.
“Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke HQE 1 dan HQE 2 dan dirawat di ICU manakala 18 pelajar lain masih mendapat rawatan di Hospital Pitas masing-masing empat di zon kuning dan 14 di zon hijau dalam keadaan stabil,” jelas beliau.
Zairolnizal berkata, berdasarkan keterangan Pegawai Perubatan, pihak hospital pada mulanya mengesyaki gejala tersebut adalah mabuk methanol dari mana-mana cecair arak, namun selepas dapat mengesan botol spirit yang diberikan oleh mangsa, kes diklasifikasi sebagai keracunan hidrokarbon (spirit) memandangkan ianya berasaskan Petroleum.
“Saksi iaitu pekerja supermarket mengesahkan seorang pelajar datang ke kedai mahu membeli cecair spirit. Pelajar tersebut juga membeli satu botol minuman 100 plus bersama dua botol spirit.
“Setakat ini tidak ada sebarang keterangan yang boleh mengaitkan kes dengan sebarang unsur jenayah,” katanya.